Jawab Balas Kepada YB Sheikh Umar, Ada Kepalsuan Yang Cuba Ditegakkan

DALAM kelatahan YB Sheikh Umar Bagharib Ali mengenai artikel “Apa yang baru dengan Malaysia Baru”, beliau beranggapan bahawa pelbagai perkembangan yang memberangsangkan telah dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH). Semuanya hebat dan besar.

Saya tidaklah mahu menyenaraikan satu persatu janji-janji Pakatan Harapan yang masih lagi tidak ditunaikan. Apatah lagi penipuan kelayakan, pertuduhan jenayah seks atau pelbagai contoh sikap cauvinis wakil rakyat DAP.

Rakyat sudah sedar dan tahu semuanya. Hanya YB Sheikh Umar yang masih kekal dalam penafian yang sangat menebal. Jika ini cubaan YB untuk menghidupkan kembali fungsi sebagai jambatan antara DAP dan orang Melayu seperti yang diikrarkan sebelum ini, percayalah ia tidak akan berjaya. Sekalipun peranan tersebut beliau diamkan terus semasa rakan parti DAP, YB Wong Shu Qi menghina tulisan jawi di Johor.

Ada beberapa kepalsuan yang cuba ditegakkan dalam jawapan balas YB Sheikh Umar.

Beliau katakan PH telah membuat banyak perubahan.

Pertama, kononnya wujud penjimatan kos ECRL dan LRT3 selepas Kerajaan Pakatan
Harapan berunding dengan China. YB, fahamkan dahulu apa itu penjimatan kos.

Kalau kosnya lebih murah selepas mengubah skop, mengurangkan jumlah stesen, menurunkan spesifikasi, mengurangkan saiz, membuang sesetengah perincian, itu bukan penjimatan kos namanya. Itu adalah pengecilan skop. Itu penukaran skala projek dan margin harga.
Misalnya, dalam kes ECRL, ada pengurangan jarak sebanyak 40km, pengguguran stesen Gombak dan Bentong, Jajaran Sambungan Utara yang menghubungkan Kota Bharu – Wakaf Baru – Pengkalan Kubor serta laluan mencabar merentasi Banjaran Titiwangsa.

Begitu juga dengan LRT3. Kos dikurangkan daripada RM 31.65 bilion kepada RM 16.63
bilion hasil pengecilan saiz stesen, pengurangan bilangan kereta api daripada 42 set kereta api 6 gerabak kepada 22 set kereta api 3 gerabak, penangguhan pembinaan 5 stesen (Stesen Lien Hoe, Stesen Temasya, Stesen SIRIM, Stesen Bukit Raja dan Stesen Bandar Botanic) dan pembatalan pembinaan terowong bawah tanah sepanjang 2 kilometer di Shah
Alam.

Maka apa yang YB mahu banggakan? Jika diikutkan logik akal, apabila ada pengecilan, pengurangan dan pembatalan, sudah tentulah kos berkurangan. Malah, bukan sahaja kos berkurangan, apa yang akan kita peroleh juga berkurangan. Stesen berkurangan, gerabak berkurangan, jarak berkurangan. Semuanya berkurangan.
Nampaknya, demi menegakkan benang yang basah untuk DAP, YB sanggup pura-pura
tidak lihat gajah di depan mana dan gigih meneropong kuman di sebarang laut.

Kedua, berkenaan hutang negara. Sedarkah YB bahawa menurut Bank Negara Malaysia (BNM), negara telah meminjam RM58 bilion dalam tempoh 6 bulan pertama tahun ini? Tidak lupa tindakan Kerajaan yang semakin rakus menjual aset-aset milik Government Link Companies (GLC) seperti yang berada di bawah Khazanah Nasional. Contohnya, penjualan DUO Integrated Development kepada syarikat Singapura Capital Lands dengan harga $1.5 billion (RM4.6 billion).

Pada akhir 2018 pula, Khazanah Nasional telah melepaskan pegangan sebanyak 16%
sahamnya di Integrated Healthcare Berhad (IHH) kepada Mitsui & Co. Ltd, sebuah syarikat Jepun dengan nilaian RM8.42 bilion. Banyak lagi aset strategik milik Khazanah Nasional telah diperlakukan yang sama, semata-mata untuk memuaskan naratif “membayar hutang negara” yang kononnya “terlalu besar untuk ditanggung negara”.

Lebih penting, apakah YB sekali lagi terlupa. Apabila ada ahli akademik dari UKM yang mengumpulkan semua data ini dan menerbitkannya, kebebasannya bersuara dan mengkritik mengundang ugutan dan amaran dari rakan-rakan YB dalam Kerajaan?

Ketiga, RUU 688 yang telah diluluskan sebulat suara dalam Parlimen Malaysia dalam persidangan yang lalu. Ini bukan hasil usaha Kerajaan Pakatan Harapan semata-mata.

Mungkin YB terlalu sibuk membuat ‘u turn’ berkenaan had umur belia Negeri Johor, sehingga terlupa bahawa usul tersebut adalah usaha bipartisan semua pembuat dasar.

Malah, 2 daripada 3 pindaan yang dibuat adalah berdasarkan syor Ketua Pembangkang iaitu, pendaftaran pengundi secara automatik dijalankan dan had umur calon pilihan raya mesti turut diturunkan kepada 18 tahun.

Jadi tidak hairanlah Menteri Belia dan Sukan sendiri sedar dan akur bahawa ia adalah kemenangan milik semua, tidak kira perbezaan politik demi kelestarian sistem demokrasi Malaysia. Mengapa kini YB mahu menjadikan semua itu hasil kejayaan PH sahaja?

Keempat, mengenai perihal ‘tender terbuka’ yang selalu dibanggakan Pakatan Harapan Johor. Umum mengetahui bahawa wujud 4 jenis tender di bawah Kerajaan Negeri iaitu, Tender Terbuka, Tender ‘Turn Key’, Tender Rundingan Terus dan Tender Terhad.

Pertama sekali, rakyat Negeri Johor berhak untuk mengetahui berapa banyakkah projek diklasifikasikan di bawah Tender Terbuka dan senarainya setakat ini.

Kedua, nafikan sekeras-kerasnya desas-desus bahawa masih ada projek yang diberikan melalui jenis-jenis tender yang lain selain dari Tender Terbuka, oleh Kerajaan Johor sekarang. Sila jelaskan.

Kelima, wujud banyak percanggahan dalam usaha mereformasi institusi yang dicanangkan Pakatan Harapan. Janji mengehadkan tempoh jawatan YAB Perdana Menteri dan MB Johor adalah tidak serius. Sampai sekarang tiada proses pembentangan untuk menjadikan perkara tersebut sebagai undang-undang yang mengikat.

Kononnya dibawah PH, amalan telusnya adalah memastikan yang pelantikan Ketua
Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) bebas dan mendapat persetujuan dari Parlimen. Tetapi tidak pada kali ini. Hanya atas alasan kekosongan jawatan Ketua Pesuruhjaya perlu diisi dengan segera dan penyandangnya kini, biarpun seorang peguam yang aktif berpolitik dalam PKR, adalah individu yang paling layak untuk mengisinya.

Di Johor pula, YB pasti lebih peka dan tahu. Teras keempat dalam Pelan Pembangunan Mampan Johor 2019-2030 telah gagal direalisasikan. Ini terbukti apabila keengganan Pakatan Harapan dalam menginstitusikan peranan Ketua Pembangkang Negeri sewajarnya. Ketua Pembangkang hanya diberikan ‘pengiktirafan’ berskala kosmetik seperti sebuah bilik dan elaun.

Pelantikan Pengerusi Jawatan Kuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) yang baharu tidak diberikan kepada Ketua Pembangkang tetapi Ahli Dewan Undangan Negeri parti YB sendiri. Jika Negeri Selangor boleh mengiktiraf dan menginstitusikan Ketua Pembangkang, mengapa Johor tidak boleh? Ini hanyalah sebahagian contoh yang jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Pakatan Harapan dan YB sendiri masih kucar kacir.

YB Sheikh Umar Bagharib Ali, selaku jurucakap tidak rasmi DAP, saya sarankan untuk YB berlaku adil kepada diri sendiri dan memfokuskan kepada manfaat sebenar YB dan parti YB kepada rakyat. Itu adalah perkara yang jauh lebih aula buat masa ini. Jangan terlalu memfokuskan kepada membela ketua dan rakan cauvinis YB dalam DAP. YB, berilah perhatian kepada Johor!

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Naib Presiden UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.