Penyatuan UMNO-PAS Resepi Bagi Perpaduan Semua Kaum Dalam Negara Ini – Johari


KUALA LUMPUR, 3 Sept – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, penyatuan UMNO dan PAS mestilah dianggap sebagai satu resepi bagi memastikan perpaduan semua kaum dalam negara ini.

Jelas beliau, sejarah 62 tahun UMNO ditambah dengan sejarah pentadbiran PAS di Kelantan adalah bukti bahawa pemimpin Melayu Islam yang menerajui negara tidak pernah menidakkan hak bukan Melayu.

“Saya sering ditanya oleh rakan-rakan bukan Melayu, mereka kata, ‘Datuk, kalau UMNO dengan PAS bergabung, ini negara mahu jadi apa? Datuk tidak takut ke’. Sebab itu saya selalu mengadakan dialog dengan rakan-rakan bukan Melayu ini.

“… saya beritahu mereka, sejarah negara kita 62 tahun merdeka, pemimpin Melayu yang menerajui negara ini tidak pernah menidakkan hak bukan Melayu. Sewaktu pemerintahan BN, saya tidak nampak ada kesan penganiayaan secara besar-besaran yang berlaku kepada bukan Melayu dan bukan Islam.

“Saya tidak nampak perkara yang dilakukan oleh pemimpin Melayu yang menidakkan hak bukan Islam. Begitu juga kalau lihat kerajaan kepimpinan PAS selama enam penggal di Kelantan, tidak berlaku permusuhan dengan orang bukan Melayu atau bukan Islam. Sebab itu saya nak beritahu, penyatuan UMNO dan PAS ini mesti dianggap sebagai satu resepi untuk memastikan perpaduan rakyat Malaysia dan seluruh kaum dalam negara ini akan terus stabil sampai bila-bila,” ujar beliau ketika berucap dalam program Jelajah Ceramah Umum Sempena Himpunan Penyatuan Ummah #HPU914 peringkat Wilayah Persekutuan di Cheras, malam tadi.

Tambah Johari, kerana sikap adil yang diamalkan oleh pemimpin-pemimpin Melayu Islam dalam mentadbir negara ini jugalah yang menyebabkan semua kaum mampu menjana ekonomi dengan baik.

“Betapa adil dan saksamanya pepimpin Melayu bila memerintah negara ini, kalau kita tengok sepanjang 62 tahun BN memerintah, bermula sebuah negara yang hanya saiz ekonominya orang panggil ekonomi ‘ubi kayu’ dan ‘pucuk paku’ (tahun 1957) tetapi hari ini selepas selepas 62 tahun merdeka, ekonomi dapat dibangunkan sehingga RM1.35 trilion… inilah jumlah yang kita tinggalkan kepada Pakatan Harapan (PH).

“Resepi pertama nak bangunkan ekonomi adalah kestabilan politik dan ini kita dapat daripada mana? Daripada rakyat majoriti siapa? Kalau berada di China, rakyat majoritinya mesti berasa ‘feel comfortable’, kalau di negara India majoritinya mesti berasa ‘feel comfortable’, begitu juga dalam konteks negara Malaysia, majoriti Melayu dan bumiputera mesti rasa ‘comfortable’. Kalau rasa selesa maka tidak ada syak wasangka.

“Kita tidak tolak kepentingan bukan Melayu. Kalau kita tengok sepanjang BN bangunkan ekonomi sewaktu memerintah, ekonomi berkembang dengan pesat, mereka yang datang dalam negara ini yang tinggal dan lahir di sini mempunyai peluang sama rata tidak kira dia Melayu, Cina dan India… mereka menikmati ekonomi negara dan tidak ada siapa pun menghalang,” jelas beliau.

Jelas beliau lagi, kepelbagaian ini dapat dibuktikan apabila senarai 10 orang terkaya di Malaysia tidak ada seorang pun yang beragama Islam dan ianya sedikit pun tidak menimbulkan rasa cemburu bangsa majoriti di negara ini.

“Kita tidak kisah sebab kita hargai peluang yang kita bagi kepada sesiapa sahaja yang berada di Tanah Melayu atau negara Malaysia ini. Kita panjangkan lagi senarai ini kepada 20 orang terkaya… adalah seorang Melayu, kemudian yang ke-30 terkaya, dapat lagi seorang Melayu, yang 40 terkaya, dapat lagi seorang Melayu… yang 50 terkaya, dapat lagi seorang.

“Jadi, perkembangan ekonomi yang dipimpin oleh Melayu Islam ini telah melahirkan ramai orang terkaya di negara ini yang terdiri dari bukan beragama Islam.

“Ada kita tengok rusuhan berlaku? Tidak ada sebab kita hargai mereka yang bekerja kuat. Ini semua adalah kerana asas kestabilan politik yang pemimpin Melayu Islam buat,” tegas beliau lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.