Bersara 65 Tahun? Sama Menteri Bercelaru, Kerajaan PH Terus Berpolemik Lagi – Khusairi


KUALA LUMPUR, 3 Sept – Selepas puas berpolemik dengan isu tulisan khat, kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini mewujudkan pula satu polemik baru iaitu had umur bersara pekerja awam, bidas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib.

Katanya, tidak sampai sepuluh jam selepas cadangan tersebbut, Menteri Belia dan Sukan dari Parti Bersatu, Syed Saddiq Abdul Rahman membantah pula cadangan Kula Segaran kerana menurutnya, keutamaan perlu diberikan kepada golongan muda untuk mendapat kerja dan dinaikkan pangkat mengikut merit bukan sahaja faktor umur.

“Kedua-dua menteri ini menghadiri mesyuarat kabinet setiap minggu, tetapi amat menghairan kenapa isu besar seumpama ini tidak dibincangkan terlebih dahulu di dalam mesyuarat itu sebelum mereka membuat kenyataan umum?

“Timbul tanda tanya apakah kenyataan Kula Segaran itu adalah sebagai rentetan cadangan seorang taikun Dap Koon Yew Yin pada 13 Ogos lalu meminta kerajaan menyemak semula senarai pekerja di jabatan kerajaan serta memecat pekerja yang tidak diperlukan? Soalnya, sebagaimana dalam satu hantaran di Facebook.

Khusairi berkata demikian merujuk kepada kenyataan Menteri Sumber Manusia dari Dap, M. Kula Segaran di Ipoh semalam bahawa kementeriannya akan memperhalusi cadangan beberapa pihak, termasuk Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) untuk meningkatkan usia persaraan dari 60 ke 65 tahun seperti dilakukan beberapa negara maju termasuk Singapura.

Tambah Khusairi, persaraan lebih awal akan membuka peluang kepada pengambilan pekerja baru di kalangan golongan muda untuk mengisi kekosongan.

“Apakah Kula Segaran berhasrat untuk mengambil masa supaya jawatan-jawatan sedia ada tidak diisi atau dihapuskan apabila penjawat awam yang sepatutnya bersara dilanjutkan pula perkhidmatan selama lima tahun lagi?

“Kula Segaran berkata golongan tidak bekerja di negara ini hanya 3.3 peratus, malah negara kekurangan pekerja hingga terpaksa mendapatkan pekerja dari negara asing. Syed Saddiq sebaliknya berkata kadar pengangguran di Malaysia adalah 10.7% dan terdapat 500,000 golongan muda yang menganggur.

“Manakah yang betul, 3.3% atau 10.7%? Statistik penting seperti kadar pengangguran negara yang ada dalam data para menteri kabinet juga bercelaru dan mungkin hanya ikut sedap mulut mereka sahaja,” tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim itu lagi.

Jelas kelihatan polemik demi polemik antara parti-parti PH yang nampaknya mereka mempunyai agenda tersirat untuk menonjolkan parti masing-masing, tambah Khusairi.

“Dap begitu ketara mahu menonjolkan parti itu pejuang kepentingan bukan Melayu, sementara Bersatu yang kerdil itu mahu mengaburi mata orang Melayu kononnya parti itulah yang menjuarai isu Melayu.

“Tun Mahathir tanpa berselindung membidas sikap rasis Dong Zong dan secara sinis mengungkapkan perkataan ‘paria’, sebaliknya sebilangan besar pemimpin Dap membela Dong Zong dan kalangan penyokongnya mengkritik kenyataan ‘paria’, walaupun apa yang dimaksudkan oleh Mahathir adalah tahap layanan kerajaan terhadap syarikat operasi Lynas.

“Tun Mahathir nampak konsisten mempertahankan keberadaan penceramah Dr. Zakir Naik, sebaliknya Dap dan menteri-menteri kabinetnya termasuk di kalangan Melayu bercanggah pendapat dengan Perdana Menteri,” katanya lagi.

Kesimpulannya jelas Khusairi, untuk beberapa hari ini, berpolemiklah pemimpin kerajaan dalam soal had umur bersara.

“Maka kesatuan-kesatuan sekerja pun, termasuk CUEPAC segera mengambil peluang meletakkan diri pada pihak yang boleh memberikan keuntungan peribadi mereka.

“Betapa hairannya kita apabila Kula Segaran berkata soal menaikkan had umur bersara itu telah beliau serahkan kepada Kementerian Kewangan untuk diputuskan.

“Apakah hal yang begitu penting ini hanya diputuskan oleh satu kementerian tanpa dibawa ke kabinet? Besar sungguh kuasa Lim Guan Eng selaku Menteri Kewangan dalam Kerajaan PH,” tempelaknya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.