“Kita Bina Semula Rumah Setelah Di Makan Anai-anai” – Mohamad
RANTAU 1 September – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Mohamad Hasan berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak boleh diharap dan selalu menggusarkan rakyat.
Beliau menyatakan rumah baru yang dibina dari runtuhan tembok yang telah membentengi negara khususnya orang Melayu dan Islam selama 62 tahun sekelip mata diambang kehancuran kerana PH
“Sekarang ni anai-anai sudah menguasai Putrajaya, baru nak menyesal, rumah dah reput tapi belum terlambat lagi, kita pungut yang kuat-kuat, kita pungut tiang-tiang, kita pungut lantai yang belum terjejas lagi, kita buat rumah baru.
“Benteng yang kita bina dulu adalah semen tahun 1957 dan runtuh pada masa tsunami 9 Mei 2018. Mari kita sama-sama pungut balik batu-bata dan runtuhan itu, kita bina semula untuk membentengi negara.
“Kita bina yang lebih kuat dan lebih kukuh untuk terus membentengi negara yang bertuah dan berbilang kaum ini… kita mantapkan lagi azam untuk menjadikan Malaysia menjadi sebuah negara yang progesif dan negara lebih maju ke depan,” katanya semasa ucapannya pada Perhimpunan Penyatuan Ummah Peringkat Negeri Sembilan di Eco Park, Kuala Sawah, Rantau, semalam.
Katanya, perkara ini yang mesti diimpikan oleh setiap masyarakat di negara ini dan jangan pandang yang remeh-remeh.
“Kemana harus bawa negara ini terutama orang Islam?”
Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau turut berkata, kerajaan baru langsung tidak buat apa-apa untuk negara.
“Apa yang rakyat dapat? Kerajaan baru ini seolah-olah membenarkan apa saja tohmahan, tuduhan dan fitnah yang dilemparkan antara satu sama lain. Ini cukup merbahaya dan ini seperti bermain api.
“Api dalam sekam jangan dibiarkan hidup, kalau ia terbakar habis dan susah nak padam. Api perkauman jangan dimainkan terutamanya yang bersangkut paut dengan agama dan ini amat merbahaya.”
Katanya, mari kita sama-sama mengambil iktibar, banyak negara, empayar dan kerajaan yang runtuh disebabkan api yang kecil tidak ditangani secepat mungkin.
“Menteri sekarang ini semuanya adalah cap ayam.
“Kerajaan hari gagal menangani isu-isu, membiarkan menteri-menteri bercakap yang bukan-bukan, ujarnya.
Tegasnya lagi, menteri yang bercakap selalunya mengguriskan hati dan perasaan orang Melayu dan tidak satu pun yang elok didengar. – UMNO ONLINE