PH, Sila Kembalikan Hak Orang Melayu, Islam Yang Semakin Dipinggirkan – Dr Ahmad Zahid

PASIR SALAK, 31 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang ditunjangi oleh Dap mengembalikan hak orang Melayu dan Islam yang kini secara halus sedang dipinggirkan.

Oleh kerana itulah tegasnya, antara lain penyatuan ummah dan kebangkitan Melayu baharu adalah kerana selama setahun lima kerajaan gagal dalam memperkasakan agenda Melayu.

“Kita menuntut hak orang Islam, hak orang Melayu dan pribumi yang termaktub di dalam perlembagaan hendaklah dikembalikan dan dlilaksanakan tanpa ada kompromi oleh kerajaan yang ada sekarang ini.

“Mana mungkin kita yang perjuangkan hak kita dianggap sebagai rasis dan perkauman. Kita memperjuangkan hak agama kita yang termaktub dalam perlembagaan dianggap sebagai ekstrimis atau pengganas.

“Kita hanya menuntut hak kita. Kerana kontrak sosial dan apa yang termaktub dalam perlembagaan itu telah sedia ada, kita tidak menuntut lebih daripada itu,” katanya dalam program Himpunan Melayu Bangkit dan Penyatuan Ummah 2.0 di dataran Dewan Besar Pekan Rabu, di sini malam tadi.

Hadir sama bekas Presiden, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan, Setiausaha Agung, Tan Sri Annuar Musa, Ahli-ahli Majlis Tertinggi dan barisan kepimpinan pelbagai peringkat.
Turut hadir barisan kepimpinan PAS yang diwakili Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyudin Hasan, Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria serta kepimpinannya.

Jelas Dr Ahmad Zahid lagi, dalam masa yang sama orang Melayu dan Islam tetap menghormati hak-hak bangsa lain serta pengurusan kemakmuran ekonomi negara.

“Kita menghomati hak agama lain, bangsa lain, cara pengagihan dan cara pengurusan kekayaan negara.

“Tetapi dengan kementerian-kementerian yang penting dipegang olah bangsa Dap dan hak yang termaktub di dalam perlembagaan dinafikan dan dipinggirkan secara halus, kita tidak boleh terima keadaan itu,” ujarnya.

Sebagai contoh, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk merujuk kepada penubuhan sebuah Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

“Bagaimana soal IPCMC iaitu suatu cadangan untuk menjaga disiplin pegawai-pegawai dan juga anggota polis yang telah ditolak oleh kerajaan lalu kini diterima oleh kerajaan yang ada sekarang. Kerana itu cadangan daripada pemimpin bangsa Dap.

“Sedangkan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) telah cukup untuk menjaga soal disiplin. Suruhanjaya SIAP (Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan) telah ada, tetapi mengapa polis mahu dihina, mahu ditekan, dipantau oleh sebuah badan lain.

“Simpati UMNO dan PAS serta Barisan Nasional kepada pegawai dan anggota polis dan kita tidak bersetuju IPCMC diadakan semula. Kita wajib membela kebajikan polis di seluruh negara. Ini pegangan dan pendirian kita,” tambahnya.

Di akhir ucapannya, Dr Ahmad Zahid memimpin bacaan doa di hadapan puluhan ribu rakyat yang hadir.

Pada Himpunan Melayu Bangkit dan Penyatuan Ummah 2.0 itu di mana UMNO Bahagian Pasir Salak yang diketuai Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai tuan rumah dan dibantu PAS kawasan, turut diserikan dengan majlis sambutan ambang Hari Kemerdekaan. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.