“Jika Ingin Buat Kenyataan Politik, Letaklah Jawatan Ketua Polis Negara Dan Jadi Ahli Politik” – Isham

KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Presiden Sukarelawan Malaysia, Isham Jalil menyarankan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador agar jangan sesekali bersikap partisan atau berat sebelah kepada mana-mana parti politik.

Atau katanya, memberikan apa-apa kenyataan yang boleh dianggap sebagai berbaur kepentingan politik malahan tidak adil atau tidak benar dari segi fakta.

“Beliau tentunya tahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah suatu institusi untuk semua rakyat tidak kira kerajaan atau pembangkang dan bukan hanya untuk Pakatan Harapan (PH).

“Jika ingin buat kenyataan seperti ahli politik, letaklah jawatan sebagai Ketua Polis Negara dan jadi ahli politik.

“Saya pasti di sudut hati kecilnya dia pun tentunya tahu sebab utama kerajaan PH sekarang goyang bukanlah kerana salah pembangkang tetapi kerana salah kerajaan dan pemimpin-pemimpin kerajaan PH sendiri,” ujarnya dalam satu status di Facebook.

Isham berkata demikian mengulas mengenai laporan akhbar semalam yang menyebut Abdul Hamid menyalahkan pembangkang kerana kerajaan PH sedang goyang, di tengah-tengah peningkatan ketegangan isu agama dan kaum.

Hakikatnya tambah Isham, keharmonian negara semakin diganggu-gugat adalah disebabkan pemimpin-pemimpin kerajaan dan bukan pihak pembangkang.

“Yang bawa isu perkauman di pilihan raya-pilihan raya kecil seperti di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau adalah pemimpin-pemimpin kerajaan PH.

“Yang jadikan isu tulisan jawi ke sekolah vernakular adalah menteri kerajaan PH, dan yang memanggil orang ‘racist’ pun perdana menteri kerajaan PH juga.

“Yang nak hantar Zakir Naik balik India adalah ahli-ahli politik kerajaan PH,” tegasnya.

Begitu juga keruduman ekonomi negara disebabkan kegagalan pemimpin-pemimpin PH, bidasnya lagi.

“Yang merudumkan ekonomi dan menambah hutang negara sehingga RM300 billion dalam hanya setahun iaitu bersamaan lapan kali ganda hutang 1MDB pun menteri-menteri kerajaan PH.

“Yang buat pelabur-pelabur cabut lari sehingga pasaran saham dan nilai ringgit jatuh teruk pun kerajaan PH.

“Yang buat ramai orang hilang kerja pun kerajaan PH juga.Yang tipu manifesto pilihan raya pun kerajaan PH,” katanya.

Tetapi, yang menghairankan ujar Isham ialah mengapakah Abdul Hamid menuding jari kepada pembangkang.

“Tapi alih-alih semua salah pembangkang.

“Kenapa tak kata semua ini salah Najib (Datuk Seri Najib Razak) saja? Kan senang,” sinisnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.