‘Pelik Bin Hairan’, Kes Perundangan PH Banyak Menjurus ‘Rule Of Jungle’? – Zolkafly

IPOH, 28 Ogos – Ketua Penerangan UMNO Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun kesal dengan sikap pemimpin Pakatan Harapan (PH) ekoran banyak kes-kes perundangan yang bukan mengikut ‘Rule of Law’ tetapi lebih menjurus kepada ‘Rule of Jungle’.

Katanya, sikap yang ditonjolkan oleh Exco Kerajaan Negeri Perak yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong yang didakwa atas tuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia adalah salah satu yang menimbulkan rasa ‘pelik bin hairan’.

Dilaporkan, Peguam Paul Yong telah membuat permohonan kepada peguam negara (AG) untuk menggugurkan dakwaan terhadap pemimpin Dap itu walaupun mereka memahami hal-hal perundangan.

“’Pelik bin hairan’ bagaimana seorang exco kerajaan negeri boleh meminta kepada mahkamah untuk menggugurkan pertuduhan tersebut.

“Ini kita lihat bukan sahaja di Perak malah banyak kes-kes yang berlaku di negara kita hari ini. Inilah yang luar biasa berlaku pada kerajaan PH hari ini,” katanya kepada UMNO Online.

Katanya, kes pertuduhan ini agak pelik kerana meminta hakim menggugurkan kes sedangkan isu ini adalah berprofil tinggi dan melibatkan hubungan bilateral dua negara Malaysia-Indonesia.

“Seharusnya kerajaan PH menyerahkan sepenuhnya kepada sistem kehakiman dan perundangan sama ada Adun Tronoh itu bersalah atau tidak dan bukannya mengikuti cara sesuka hati,” kata Zolkafly yang juga Adun Lintang.

Justeru beliau mengharapkan agar masyarakat lebih faham dan menilai apa yang berlaku hari ini serta membuat satu tindakan yang betul dan tepat pada masa akan datang.

“Saya penuh yakin dengan suasana politik dan isu-isu yang berkaitan hari ini yang bercanggah dengan ‘Rule of Law’, sokongan rakyat akan beralih dan insya-Allah … ini tidak berlaku lagi apabila UMNO menjadi kerajaan semula pada PRU-15,” katanya lagi.

Terdahulu, PH telah merekodkan sejumlah kes berkaitan hal perundangan membabitkan para pemimpin mereka. Antaranya, tahun lalu Peguam Negara, Tommy Thomas yang juga bekas Peguambela Lim Guan Eng menggugurkan pendakwaan kes rasuah Guan Eng yang sedang berjalan. Pengguguran ini melengkapkan siri-siri pengguguran kes-kes yang melibatkan pimpinan PH sejak Tommy Thomas sebagai AG termasuklah YB Hassan Karim MP Pasir Gudang, YB Thomas Su MP Kampar, R. Sivarasa MP Sungai Buloh dan N. Surendan mantan MP Padang Serai.

Malah pengguguran kes turut melibatkan aktivis PH seperti Ratu Naga dan Kartunis Zunar. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.