Bon Samurai Siri Baharu: PH Realisasikan Hutang Negara 1 Trilion


KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Apa yang pasti, makin terserlah sandiwara Lim Guan Eng dan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) bahawa hakikatnya merekalah yang sebenarnya yang bertanggungjawab merealisasikan apa yang sering dimomokkan bahawa hutang negara RM1 trilion.

Justeru Pemuda UMNO mendesak agar kerajaan tidak meneruskan hasrat menambah hutang negara yang hakikatnya akan memudaratkan lagi ekonomi negara yang semakin parah kini.

Ini berikutan kenyataan YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed yang berkata pentadbirannya tidak menolak dan sedang menilai untuk menerbitkan Bon Samurai siri baharu bagi membiayai projek-projek dan program Kerajaan Persekutuan.

“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berasa amat pelik dengan cadangan ini sedangkan sepanjang kempen PRU14 dan selepas mengambil alih kuasa pada Mei 2018 yang lepas, Kerajaan PH begitu bersungguh-sungguh mencanangkan kepada rakyat bahawa Malaysia akan bankrap dan Hutang Negara telah melebihi RM1 trillion!” tegas ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki melalui kenyataan media, malam tadi.

Ironinya, kata beliau, pada bulan Mac 2019, Kerajaan Persekutuan telah berjaya menerbitkan Bon Samurai bernilai 200 billion Yen bersamaan RM7.4 billion.

“Walaupun beberapa pihak mempertikaikan rasional keputusan ini lantaran hanya memfokuskan kepada kadar faedah pinjaman yang rendah iaitu 0.65%, sedangkan terdedah kepada risiko kadar pertukaran matawang Yen Jepun yang tinggi.

“Hakikatnya semakan kadar tukaran wang Yen Jepun dan Ringgit Malaysia kini pada RM3.97 bagi setiap 100 Yen Jepun ( Bloomberg) dan menyaksikan mata wang negara matahari terbit ini semakin mengukuh berbanding Ringgit Malaysia.”

“Baru-baru ini sahaja Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Dr Nor Shamsiah Mohd Yunus mendedahkan Hutang Luar Negeri Malaysia kini di paras RM931.1 billion atau 61.3% dari KDNK pada akhir Jun 2019 dan dari jumlah ini sebanyak  RM636.1 billion atau 68.3% dari jumlah Hutang Luar Negeri adalah hutang matawang asing.”

Katanya, keputusan ini jelas menimbulkan banyak persoalan;

(a) Mengapakah Kerajaan begitu beria-ia untuk menerbitkan hutang di luar negara seperti Bon Samurai, Bon Panda dan mungkin akan ada Bon terbaharu akan diperkenalkan?

(b) Bukankah cadangan tambahan Bon Samurai terbaru ini hanya akan meningkatkan Hutang Luar Negeri negara dan juga meningkatkan risiko naik turun kadar matawang bagi hutang-hutang ini sekaligus nilai muktamad pinjaman berkenaan di masa hadapan, dan paling pokok

(c) Bukankah fokus utama Pentadbiran PH khususnya Menteri Kewangan YB Lim Guan Eng adalah mengurangkan Hutang Negara? – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.