Sim Tze Tzin Terus Ditempelak Sebagai Rasis, Biadap… Sila Minta Maaf!

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Satu penghinaan di luar kewarasan manusia, bidas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib.

Dalam hantaran di Facebook, Khusairi menggesa Pemuda UMNO membuat laporan polis supaya tindakan undang-undang wajar dikenakan ke atas Timbalan Menteri Pertanian dan Asas Tani kerajaan Pakatan Harapan (PH), Sim Tze Tzin.

“Satu penghinaan di luar kewarasan manusia. Pemuda-pemuda Melayu dalam gambar itu dituduh sebagai ‘pak guard’ Bangladesh?

“Sikap kurang ajarnya tak menggambarkan dia seorang pemimpin berjawatan timbalan menteri.

“Perangainya sama teruk dengan Exco Dap Perak yang sedang menghadapi tuduhan merogol amah Indonesia,” tegas Khusairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim.

Semalam, Sim dalam Facebook peribadinya telah memuat naik sekeping gambar Skuad Sabil bersama Presiden UMNO, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Pemuda, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dengan petikan kata yang penuh celupar; “Akhirnya, 1 juta Pak guard dari Bangladesh telah sampai…. ka ka ka…”

Manakala bagi Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris menasihati pemimpin PH supaya cermin diri sebelum mengutuk atau menghina pihak lain kerana di sebelah PH, sayap pemuda seolah-olah boneka dan tin kosong yang tidak menyumbang apa-apa kepada agama, bangsa dan tanah air.

“Apakah sumbangan Dapsy kepada Malaysia? Apakah sumbangan Armada? Apakah sumbangan Pemuda Amanah? Angkatan Muda Keadilan (AMK) dalam PKR juga tiada apa-apa sumbangan.

“Yang jelas, sayap pemuda dalam PH hanya mahir menggunakan retorik politik dan tak ubah seperti tin kosong. Apa yang kelihatan hanyalah bijak merebut jawatan untuk kepentingan peribadi serta menabur fitnah,” tempelaknya sambil berkata Sim amat rasis dan biadap atas keceluparannya itu.

Hakikatnya tambah Dr Najmil, kerajaan PH telah tergugat dan berasa terancam kerana orang Melayu Islam telah mula bersatu dan sedar bahawa kerajaan PH adalah sebuah institusi kerajaan yang gagal dan memalukan.

“Skuad Sabil adalah satu inisiatif untuk menggerakkan anak muda supaya mendekatkan diri kepada ummah melalui kerja kebajikan dan perkara ini tidak berjaya dilakukan oleh mana-mana parti komponen PH,” jelasnya lagi.

Justeru katanya, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak Sim Tze Tzin untuk bertanggungjawab atas kenyataannya yang berbaur perkauman dan disiasat oleh pihak Polis Diraja Malaysia.

Isu yang sama turut mendapat perhatian dari pemerhati politik, Dr Novandri Hasan Basri yang mengatakan walaupun Sim telah memadam posting twitternya dan Facebooknya selepas diasak oleh pihak netizen, ia adalah sudah terlambat dan tidak boleh dilepaskan begitu sahaja.

“Menyamakan sekumpulan Melayu warganegara Malaysia dgn orang asing Bangladesh adalah satu penghinaan serius!

“Dia berjawatan timbalan menteri PH dan kenyataan beliau berbau rasis dan penghinaan yang melampau.

“Tidak cukup padam posting twitter saja. Sim Tze Tzin dituntut minta maaf dan perlu diambil tindakan supaya tidak dicontohi oleh rakyat,” tegasnya.

Dr Novandri juga berkata sempat meninggalkan komen di Twitter Sim.

“Komen saya di twitter Tze Tzin : Don’t succumb urself to cheap shot, moronic & imbecile remarks like this. U r a Deputy Minister, so behave like one.

My advice is erase this tweet & be more professional. Tweet more beneficial inputs & ministerial plans for rakyat,” ciapnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.