Kerajaan Perlu Bertegas Dengan Pihak Anti – Jawi

ALOR SETAR 26 Ogos – Kerajaan harus bertindak tegas terhadap pihak-pihak yang membantah pengajaran Jawi di sekolah jenis kebangsaan yang semakin melampau.
Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO negeri, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, jika dibiarkan, dikhuatiri bantahan itu akan terus berlarutan sehingga di luar kawalan.

Katanya, situasi itu dapat dilihat menerusi himpunan bantahan di Brickfields, Kuala Lumpur, baru-baru ini dan terbaharu tindakan Pasukan Tindakan Seni Khat (Sekat) untuk menyakinkan ibu bapa berhenti menghantar anak-anak mereka ke sekolah sebagai tanda protes terhadap pengajaran Jawi.

“Walaupun kita bebas untuk tidak bersefahaman dalam isu Jawi ini, tetapi sebagai rakyat, kita perlu menghormati tulisan Jawi sebagai sebahagian daripada sejarah bahasa Kebangsaan yang mempunyai kedudukan yang dipelihara di dalam Perlembagaan.

“Ditambah pula di dalam bulan Kebangsaan ini, kita harus ingat perjuangan kemerdekaan dahulu dibantu oleh sepanduk-sepanduk, surat-menyurat, di dalam tulisan Jawi. Tidak dilupakan dokumen pemasyhuran kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu juga ditulis di dalam tulisan Jawi.

“Jadi dalam isu ini (Jawi) saya berharap, kerajaan dan pihak berkuasa harus bertegas dan pantas campur tangan supaya tidak melampau dan menjadi lebih buruk,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sekat yang terdiri daripada 24 buah kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) semalam menggesa Kementerian Pendidikan menangguhkan pelajaran Jawi dan seni khat kepada murid sekolah vernakular sehingga mendapat jawapan yang jelas mengenai masalah itu.

Beberapa portal berita melaporkan, Setiausaha Sekat, Arun Dorasamy berkata, kumpulan itu sedang berusaha mengadakan dialog dengan kerajaan untuk mencari penyelesaian baik mengenai perkara itu.

Arun dilaporkan berkata, sekiranya permintaan untuk mengadakan dialog tidak dipenuhi, kumpulan itu akan menyakinkan ibu bapa untuk berhenti menghantar anak-anak mereka ke sekolah sebagai tanda protes.

Kerajaan sebelum ini membuat keputusan untuk meneruskan pelajaran Jawi untuk murid Tahun 4 di sekolah vernakular tetapi dengan beberapa penyesuaian.
Keputusan dibuat selepas mendapat bantahan daripada kumpulan pendidkan vernakular.

Tambah Syed Mohd. Johan, jika kritikan dan bantahan terhadap Jawi ini melampaui batas secara tidak langsung akan mengundang rasa tidak puas hati pihak lain seterusnya dikhuatiri mendorong kepada tindak balas yang hanya boleh mengeruhkan lagi keadaaan di negara ini. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.