ADUN PH Campur Tangan Keputusan Pihak Berkuasa?

KINI tular di media sosial satu salinan laporan polis bertarikh 22 Ogos 2019 yang dilakukan ke atas YB Mazlan Bin Bujang, Ketua Bahagian Bersatu Tebrau yang juga merupakan Pengerusi Bersatu Johor, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa.

Dalam laporan tersebut, beliau dikatakan telah membuat panggilan kepada pihak berkuasa tempatan dan membuat permintaan agar kilang kitar semula yang telah disita pada 11 Julai 2019 di Kampung Pasir Puteh, dibenarkan beroperasi semula.

Saya percaya, jika benar seperti yang dilaporkan, tindakan ini adalah sangat tidak baik atas beberapa sebab.

Pertama, ia dengan jelas menunjukkan bahawa wujud campur tangan secara langsung oleh ADUN Pakatan Harapan ke atas operasi dan keputusan pihak berkuasa tempatan.

Ini bukanlah sesuatu yang sihat dalam amalan kerajaan.

Kedua, ia adalah tindakan melazimkan konflik kepentingan.

Sebagai ADUN, sewajibnya beliau bertindak secara neutral dan tidak mempamerkan kecenderungan dan memberi perlindungan langsung kepada mana-mana operasi perniagaan.

Apatah lagi jika sesuatu operasi perniagaan tersebut sudah didapati tidak sihat dan disita oleh pihak berkuasa.

Sudah tentulah keputusan menyita kilang tersebut oleh pihak berkuasa adalah berdasarkan alasan-alasan yang kuat demi kebaikan semua.

Yang sangat dikesalkan, beliau tergamak mengutamakan kepentingan material sesetengah pihak berbanding kesejahteraan penduduk tempatan.

Lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang penduduk Pasir Gudang masih trauma dengan segala insiden pencemaran yang belum berkesudahan.

Ketiga, tindakan beliau yang mendakwa bahawa beliau mempunyai kuasa bertaraf Menteri, sedangkan hanya Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang sahaja yang mempunyai kuasa untuk membuka semula premis perniagaan tersebut.

Pada saya ini adalah satu tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab dan salah.

Saya yakin bahawa sebagai ADUN yang menjaga kepentingan semua, beliau perlu kekal berkecuali, tidak mencampuri urusan pihak berkuasa dan mengelakkan sebarang tindakan yang memberi tanggapan yang salah kepada bidang kuasa dan tugas seorang wakil rakyat.

Saya harap perkara ini akan mendapat penjelasan yang sewajarnya daripada pihak beliau serta pihak berkuasa yang bertanggungjawab.

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Naib Presiden UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.