PH Dibidas Lagi, Tidak Hilang Prestij Guna Bahasa Kebangsaan

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Kementerian Belia dan Sukan menukar nama program Hari Sukan Negara 2019 kepada Malaysia Sports Challenge 2019 (MySC’19) tidak boleh diterima dan disifatkan sebagai tidak menghormati bahasa kebangsaan.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusof berkata, kenyataan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong kononnya pertukaran nama tersebut untuk meningkatkan prestij program berkenaan juga dilihat sebagai tidak berasas.

“Adalah sungguh mengecewakan apabila program yang menggunakan bahasa kebangsaan sebelum ini ditukar. Kita membawa nama Malaysia dan bahasa kebangsaan perlulah diketengahkan. Percayalah, tidak hilang prestij sesebuah program jika menggunakan nama dalam bahasa kebangsaan.

“Sepatutnya, apa juga pendekatan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di dalam era Malaysia baharu ini, mereka tidak harus lari daripada identiti dan jati diri Malaysia yang juga mampu mengharmonikan perpaduan rakyat,” katanya.

Semalam, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak bersetuju dengan keputusan Kementerian Belia dan Sukan menukar nama program Hari Sukan Negara 2019 kepada MySC’19.

Menerusi kenyataan, DBP memberitahu, penjenamaan semula itu menunjukkan pihak Kementerian Belia dan Sukan tidak selari dengan hasrat kerajaan untuk meluaskan penggunaan bahasa Melayu.

Jelasnya, Perkara 152 Perlembagaan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan ia hendaklah digunakan sebagai bahasa rasmi negara.

Terdahulu, Chee Keong mengumumkan Hari Sukan Negara yang disambut setiap tahun sejak 2015 ditukar kepada nama baharu iaitu Malaysia Sports Challenge atau MySC. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.