Pengerusi PPBM Negeri Setaraf Menteri… Ugut Tidak Tutup Kilang Di Pasir Gudang?


KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Benarkah kuasa yang ada pada Pengerusi PPBM sesebuah negeri adalah sama atau lebih besar daripada menteri sehingga boleh mengatasi arahan daripada Menteri dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar?

Persoalan tersebut muncul ekoran terdapat khabar Mazlan Bujang selaku Pengerusi PPBM Johor telah mengugut seorang pegawai pentadbir negeri untuk tidak lagi menutup kilang-kilang di Pasir Gudang.

“Beberapa kilang di Pasir Gudang telah diarah ditutup menurut beberapa sumber berikutan kes pencemaran air dan udara sejak beberapa bulan yang lepas. Arahan penutupan ini adalah daripada menteri yang berkaitan dan dari Pengarah Jabatan Alam Sekitar Johor. Menteri tersebut telah juga mengarahkan untuk tidak melulus mana-mana permohonan kilang kimia baru dikawasan Pasir Gudang.

“Berita ini pastinya mengembirakan masyarakat umum namun terdapat berita baru yang tidak baik terutamanya untuk masyarakat di Pasir Gudang,” kata kenyataan yang dipetik menerusi Facebook Ops Johor, hari ini.

Menerusi kenyataan tersebut, dikatakan Mazlan telah mendakwa bahawa, kuasa yang ada pada dirinya sebagai Pengerusi PPBM Negeri Johor adalah sama besar dengan kuasa menteri di kerajaan Persekutuan malah pihak yang diugut telah melaporkan isu ini kepada pihak berkuasa.

“Persoalannya kini, adakah benar terdapat kilang-kilang yang mempunyai kaitan dengan Mazlan Bujang dan siapakah dalang sebenar atau atas arahan siapa yang Mazlan Bujang berani untuk bertindak sedemikian?

“Mengapa Mazlan Bujang selaku Pengerusi PPBM Johor tidak mengutamakan kesihatan rakyat tetapi sebaliknya bertindak atas kepentingan peribadi atau kepentingan kilang-kilang tersebut?

“Perkara ini perlu disiasat kerana ia melibatkan soal kesejahteraan alam sekitar dan keselamatan rakyat terutamanya murid-murid di sekolah-sekolah Pasir Gudang dan pihak yang bersekongkol dengan konspirasi ini harus bertanggungjawab dan didedahkan kepada masyarakat,” petik kenyataan tersebut lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.