Kes Exco Perak Rogol Amah Indonesia: Taktik Basi Dap Ubah Fokus… Rakyat Mahukan Kebenaran

TANJUNG MALIM, 23 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib menggesa pihak Dap menyerahkan kuasa pengadilan berhubung kes ADUN Dap Tronoh, Yong Choo Kiong kepada mahkamah.

Bidasnya, tidak perlu Speaker DUN Perak, Datuk Ngeh Ko Ham merendahkan martabat dan institusi Speaker hanya semata-mata disebabkan mahu membela seorang yang telah dituduh dan akan dibicarakan.

“Masyarakat sebenarnya mahu tahu perkara pokok yang amat penting – betulkah Exco Dap Perak telah merogol wanita pembantu rumahnya seorang warga Indonesia?

“Janganlah cuba mengubah fokus ini. Taktik Dap sebegini sudah basi,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Jelas Khusairi, Ngeh bertindak tidak wajar, merendahkan institusi Speaker dengan beliau sendiri membuat laporan polis berkaitan kes rogol melibatkan seorang Exco kerajaan negeri.

Tambahan pula ujar Khusairi, laporan tersebut dibuat di waktu malam seolah-olah Speaker sudah terlalu terdesak mahu mempertahankan satu kes yang menambahkan cemar parti Dap.

“Kenapa tidak Nga Kor Ming saja yang membuat laporan polis itu, sesuai dengan jawatannya selaku Pengerusi Dap Perak? Malah Nga turut hadir ketika Ngeh membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh malam tadi.

“Bukankah Menteri Besar (MB) Perak, Faizal Azumu (Datuk Seri Mohd Faizal Azumu) sebelum ini melabelkan jawatan Speaker itu satu institusi dan perlu dihormati?

“Dalam soal meminta ADUN mengisytihar harta kepada Speaker, kami diminta menghormati institusi Speaker, tetapi nampaknya Speaker sendiri tidak menghormati ‘institusi’ yang diamanahkan kepadanya,” tambahanya.

Jelas Khusairi yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, beliau percaya bangunan IPD Ipoh dikawal rapi oleh kamera litar tertutup (CCTV).

“Pihak polis boleh siasat dengan mudah jika benar ada lelaki menemani amah Indonesia itu ketika wanita berkenaan membuat laporan yang dirinya dirogol oleh Exco Dap berkenaan.

“Jika benar ada lelaki yang dimaksudkan Ngeh itu, pihak polis juga perlu siasat identiti lelaki berkenaan sama ada berkemungkinan dia telah dirasuah oleh Dap untuk berbohong kononnya menerima RM100,000 supaya membawa amah itu membuat laporan polis dan diacukan pistol oleh lelaki lain agar tidak membongkar perkara sebenar,” katanya lagi.

Pagi tadi, Yong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak, didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya warga Indonesia 7 Julai lalu.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Wakil rakyat Dap itu didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa warga Indonesia berusia 23 tahun antara 8.15 malam hingga 9.15 malam 7 Julai lalu di sebuah bilik di tingkat atas rumah di Desa Meru 2, Meru Desa Park, Meru Raya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.