Ramai Pakar Sahkan Operasi Lynas Selamat Tapi Dijadikan Isu Politik – Wan Rosdy

KUANTAN, 20 Ogos – Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini, berkata ramai pakar dalam bidang tenaga atom mengesahkan operasi kilang memproses nadir bumi Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) sebagai selamat.

Katanya, banyak kajian dan penilaian berhubung operasi kilang itu dilakukan, malah termasuk sebelum kilang itu dibenarkan beroperasi di Gebeng di sini, sehinggalah ke penubuhan Jawatankuasa Penilaian di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan pada tahun lepas.

“Pada 2011, kajian telah dijalankan oleh Panel Pakar Bebas Antarabangsa oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dengan sembilan ahli profesional diketuai Dr Tero Varjoranta mengenai operasi Lynas di sini. Mereka pakar dalam pelbagai bidang dari Kanada, Finland, India, Belanda, United Kingdom dan Itali.

“Pada tahun sama, seorang lagi pakar iaitu Yukiya Amano sebagai Pengarah IAEA juga telah berkunjung ke negara kita dan mengesahkan operasi Lynas selamat dan tidak memberi kesan pencemaran terhadap alam sekitar.

“Kedua-dua mereka juga mendapati projek Lynas adalah bebas daripada sisa bahan radioaktif yang boleh mengancam penduduk,” katanya pada ucapan penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang semalam.

Wan Rosdy seterusnya menarik perhatian kepada dapatan Jawatankuasa Penilaian Operasi Lynas pada Disember tahun lepas bahawa tiada sebarang petunjuk bahawa peningkatan konsentrasi logam berat dalam air bawah tanah adalah disebabkan operasi kilang Lynas.

Pada 31 Mac lepas, Pengurus Besar Pematuhan Keselamatan dan Pengawalan Radiasi Lynas, Prof Ismail Bahari menurut Wan Rosdy, juga telah mengesahkan sisa radioaktif yang dihasilkan Lynas adalah sangat rendah.

“Malah, Lynas bukanlah satu-satunya yang menghasilkan sisa itu kerana industri gas dan minyak serta perlombongan timah juga mengeluarkan sisa radioaktif.

“Ini semua adalah kenyataan yang dikeluarkan pakar, mereka yang berkelayakan. Bukan seperti kita yang merupakan layman atau kerana hendak menunjukkan kita ini menentang atau sekadar mencari populariti atau sebagainya,” katanya.

Isu berhubung Lynas juga disentuh oleh bekas Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob yang mengatakan beliau juga telah ditaklimatkan oleh mereka yang pakar dalam bidang itu semasa mengetuai pentadbiran Pahang.

“Mereka sudah menerangkan bahawa radiasi ini berada di mana-mana, seperti juga kita menggunakan telefon bimbit atau televisyen. Tapi isu ini dijadikan politik.

“Ini yang saya risaukan. Jangan sampai semalam ada yang buat demonstrasi anti-Lynas, kemudian ada yang balas buat himpunan pro-Lynas. Jika begini keadaannya, sampai bila-bila pun kita akan berdemo,” katanya.

Pada ucapan penggulungannya, Wan Rosdy juga mengajak semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang untuk menghadiahkan Al-Fatihah kepada Almarhum Sultan Ahmad Shah yang mangkat pada 22 Mei lepas di Institut Jantung Negara (IJN).

Persidangan bersambung ke tarikh yang akan ditentukan kelak. – BERNAMA