Hina Tentera… Di Mana ‘Hartawan Itu’ Ketika Peristiwa Pencerobohan Lahad Datu? Soal Azeez
BALING, 19 Ogos – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya kepada mereka yang sewenang-wenangnya menghina anggota keselamatan baik askar mahupun polis.
Tegas Ahli Parlimen Baling itu, tindakan segelintir rakyat Malaysia yang sesuka hati membuat kenyataan-kenyataan yang tidak berasas sehingga menyinggung perkara-perkara yang tidak sepatutnya perlu dikekang dengan setegas-tegasnya.
“Satu isu yang menyentuh hati sanubari saya, terasa marah apabila seorang yang kononnya hartawan, jutawan yang berbangsa Cina yang telah mengeluarkan satu kenyataan dalam bahasa Inggeris berkata askar-askar hanya menembak di tempat sasaran dan adalah lebih baik askar-askar ini menggantikan pekerja asing untuk bekerja… kita tidak tahu apa maksudnya yang tersirat mahupun tersurat… dan disebut lagi bekerja di ladang Felda.
“Jadi saya selaku ahli Parlimen, Ketua Bahagian (UMNO) dari Baling nak beritahu lebih 15 peratus penduduk Baling adalah tentera.
“Oleh kerana itu saya ucapkan terima kasih kepada pihak PAS yang mewakili rakyat Baling telah buat laporan polis. Saya minta pihak polis siasat dengan seikhlas-ikhlasnya. Tentera dan polis adalah umpama aur dan tebing, cubit peha kanan peha kiri akan terasa,” ujar Ketua UMNO Bahagian Baling itu di mesyuarat perwakilan UMNO bahagian di Kupang, Sabtu lalu.
Mesyuarat tersebut dirasmikan oleh Setiausaha Agung UMNO, Tan Sr Annuar Musa, yang turut dihadiri kepimpinan UMNO Bahagian, parti komponen Barisan Nasional (BN) dan PAS kawasan.
Seterusnya Abdul Azeez turut mempersoalkan di mana orang yang menghina tentera itu ketika peristiwa pencerobohan di Lahad Datu dahulu.
“Semasa peristiwa Lahad Datu, di Felda Tandop mana orang yang bercakap itu? Mana hartawan itu?
“Saya berada di situ dan menyaksikan bagaimana tentera kita, polis kita bertindak untuk menyelamatkan agama, tanah air dan nyawa rakyat yang berada di situ.
“Saya bersama-sama dengan panglima angkatan tentera dan ketua polis negara berkampung 13 hari. Melihat bagaimana keadaan jasa anggota tentera dan polis yang terkorban, amat menyedihkan,” katanya.
Mengulas lanjut, Abdul Azeez turut mengimbau sejarah peranan dan pengorbanan besar tentera bagi mengekang pengganas komunis di kawasan daerahnya itu.
“Bumi Baling juga satu ketika dahulu sarang komunis. Berapa ramai anggota tentera yang terkorban malah perjanjian dengan Chin Peng, komunis juga berlaku dalam daerah Baling ini.
“Justeru Baling amat signifikan untuk menyokong penuh apa jua hasil usaha yang dilakukan oleh tentera dan kita harus bantu keluarga-keluarga mereka.
“Saya bagi pihak rakyat Baling tak kira UMNO dan PAS, kami sentiasa menyokong penuh tugasan tentera laut, darat, seluruh warga tenteranya dan berdiri di belakang mereka. Kami juga mendoakan keselamatan tentera-tentera yang bertugas,” tambahnya. – UMNO ONLINE