Dr Zakir Naik Mangsa Persepsi Politik Rasis… Jangan Risikokan Ilmuwan Islam Kerana Tekanan Politik


KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Ramai pihak melatah dengan isu pendakwah bebas, Dr Zakir Naik tetapi mampu pula bersikap apologetik terhadap pihak rasis seperti Dong Zong yang telah berakar hampir berdekad lamanya di Malaysia biarpun YAB Perdana Menteri sendiri mengakui hakikat ini dan ianya bukanlah suatu khilaf atau kesilapan.

Demikian bidas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang melihat bahawa Dr. Zakir Naik hanyalah mangsa permainan persepsi politik oleh kumpulan tertentu.

“Terus terang, saya juga pada mulanya terkejut membaca laporan media berkenaan isi ceramah Dr. Zakir Naik baru-baru ini. Namun begitu, hujah beliau perlu dilihat secara menyeluruh dan bukan selektif.

“Semua pihak perlu melihat latar belakang dan tekanan keras yang beliau hadapi di negara asalnya. Konteks penerangan yang disebut Dr. Zakir Naik mesti difahami dalam ruang perbahasan yang betul. Jangan emosional dan melompat garang dalam satu perkara; tetapi diam dan bisu dalam hal yang lain.

“Di mana salahnya mengingatkan masyarakat untuk menghargai ‘kebebasan’ dan ‘nikmat’ yang ada di Malaysia? Bukankah ini tugas utama ulama’ dan agamawan? Mengapa saranan Dr. Zakir Naik diambil dalam perspektif yang rasis dan cauvinis; kecuali itulah ideologi teras sesetengah pihak di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas, apabila Perdana Menteri mengatakan Dong Zong rasis (12 Ogos 2019) maka isu Dr Zakir tiba-tiba meledak di media (13 Ogos 2019).

“Kebetulan ini terlalu mudah untuk difahami. Agenda jahat ini terlalu jelas dan sukar untuk dinafikan.

“Saya suka mengingatkan, bahawa Tanah Melayu/Malaysia ini sekian lamanya menjadi tempat berteduh alim ulama’. Sejak dahulu, tanah bertuah ini dilawati ulama dari segenap pelosok dunia. Malaysia ini merdeka di atas perjuangan dan ‘doa’ para ulama’.

“Saya memohon pimpinan kerajaan bersikap lebih adil dalam isu Dr. Zakir Naik ini dan berikan tumpuan kepada organisasi yang secara jelas menjadi ‘duri dalam daging’ kepada perpaduan sebenar di Malaysia.”

Gesa beliau, kerajaan perlu berikan fokus kepada pertubuhan ‘rasis’ yang disebutkan YAB Perdana Menteri.

“Amat malang jika isu Dr. Zakir Naik ini menjadi ‘modal politik’ kepada sesetengah pihak. Jangan kerana agenda ‘politik’ tersirat; kita mengenepikan sama sekali sumbangan beliau dalam dakwah dan mengukuh syiar Islam selama ini.

“Orang Melayu dan umat Islam perlu melihat bagaimana bersungguhnya Dap dan individu seperti Kit Siang mempertahan pertubuhan yang jelas rasis dan cauvinis. Ini detik dan masa untuk kita bangkit mempertahan seorang ilmuwan Islam.”

Tambahnya, Dap boleh terluka hati hanya dengan frasa ‘tetamu lama’ – sedang kita perlu berpeluk tubuh dan senyum apabila 2,095 buah persatuan rasis membuat tuntutan Suqiu suatu ketika dahulu?

“Antara frasa ‘tetamu lama’ dan 83 tuntutan keras Suqiu; mana yang lebih mendatangkan luka?

“Frasa mana lebih jahat; ‘tetamu lama’ atau kenyataan bahawa ‘Melayu bangsa pendatang’? Frasa mana lebih kasar, di antara ‘tetamu lama’ atau ‘tulisan Jawi untuk buku porno’?” bidas beliau lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.