Ta’awun Siayasi: Menegak, Mempertahankan Islam Antara Persamaan Perjuangan UMNO-PAS – Annuar

BALING, 17 Ogos – Menegak, mempertahan kesucian agama Islam serta mengembangkannya antara persamaan yang wujud dalam perjuangan UMNO dan PAS, ujar Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Perkara tersebut jelasnya, merupakan antara lima persamaan besar yang wujud antara kedua-dua parti terbesar orang Melayu dan Islam itu hingga lahirnya ta’awun siyasi.

“Yang pertama, UMNO dan PAS secara bersama menguasai 54 peratus. Ertinya bila UMNO campur PAS kita adalah majoriti dalam negara kita.

“Yang kedua, UMNO dan PAS adalah parti yang tertua yang sama-sama mengasaskan negara dan kitalah yang mengasaskan perlembagaan. Dap, PKR (wujud) selepas perlembagaan dah wujud, Pan (Parti Amanah Negara) baru dua tiga tahun lepas, Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) lagi baru.

“Tapi perlembagaan yang dibentuk, UMNO, PAS, MCA dan MIC ada saham. Maka ini harus kita jaga dan dalam ta’awun nanti akan terserlah kesependapatan bersama UMNO dan PAS untuk mempertahankan setiap daripada ruh dan semangat peruntukan-peruntukan dalam perlembagaan,” katanya.

Demikian ujarnya dalam ceramah perpaduan ummah di Simpang Tiga Kampung Jerai di sini, malam tadi.

Turut hadir Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azeez Abdul Rahim yang juga Ketua UMNO Bahagian Baling dan Ahli Parlimen Baling, Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, Brig. Jen. (B) Datuk Najmi Ahmad dan Yang Dipertua PAS Baling, Ustaz Hassan Saad serta barisan kepimpinan setempat kedua-dua parti.

Seterusnya Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata menjunjung Islam secara jelas termaktub di dalam perlembagaan kedua-dua parti.

“Yang ketiga, UMNO dan PAS dua parti ini sahaja yang secara terang menulis dalam perlembagaan masing-masing tertera berjuang untuk menegak, mengembang dan mempertahankan agama Islam.

“Perlembagaan UMNO di Fasal 3.3, kita tulis secara gagah bahawasanya parti ini berjuang adalah untuk menegak, mengembang dan mempertahankan Islam dan PAS juga perkara yang sama.

“Maka UMNO dan PAS harus bekerjasama agar Islam tegak di bumi Malaysia, tanah air yang tercinta ini,” ujarnya.

Di awal ucapannya, Annuar turut membawakan pandangan ulama’ Islam mengenai kepentingan menegakkan pemerintahan Islam.

“Ibnu Taimiyah menfatwakan bahawa sesungguhnya tanggungjawab bagi kita semua berjuang membentuk kerajaan dan pemerintahan itu adalah satu kemestian yang sangat tinggi duduknya dari segi agama.

“Ibnu Qudamah pula mempertegaskan lagi bahawasanya urusan membentuk kuasa pemerintahan itu adalah suatu fardhu kifayah atas umat Islam dan menjadi fardhu ain bagi orang Islam yang diangkat sebagai pemimpin,” jelasnya.

Manakala persamaan keempat pula tambah Annuar, UMNO dan PAS merupakan suara terbesar dalam mewakili suara orang Melayu dan Islam di negara ini.

“Keempat, UMNO dan PAS tidak syak lagi mewakili suara Melayu yang terbesar dan merupakan kelompok teras kepada kestabilan politik negara.

“Ibnu Khaldun telah memfatwakan bahawa kelompok teras adalah penting. Stabil kelompok teras amanlah negara itu, kukuh kelompok teras terlindunglah kelompok-kelompok minoriti yang kecil.

“Tapi kalau majoriti menderita, tidak stabil, berada dalam porak-peranda nescaya bangsa lain akan menerima akibat yang buruk. Dan ini memerlukan UMNO dan PAS untuk bersama,” katanya.

Begitu juga terangnya lagi, UMNO dan PAS juga berkongsi persamaan mempertahankan kedaulatan institusi Raja-raja Melayu.

“Dan kita telah sama-sama bersetuju bukan hanya soal sejarah Raja-raja Melayu tetapi Raja-raja Melayu jadi pelindung, payung serta ketua bagi agama Islam.

“Ini juga tidak ada khilaf antara UMNO dan PAS. Ini adalah satu persamaan yang sangat penting.

“Maka, ta’awun UMNO dan PAS akan mempertahankan semua perkara ini agar negara kita tidak didatangkan dengan kuman-kuman, virus-virus yang baru,” tegasnya.

Annuar turut menekankan gerakan perpaduan ummah hendaklah digerakkan oleh semua pemimpin-pemimpin UMNO dan PAS di peringkat akar umbi dengan usaha mentarbiahkan rakyat agar penyatuan kedua-dua parti menjadi penyatuan yang kuat dan tidak boleh digugat.

“Biar dunia menyaksikan umat Islam di Malaysia tidak boleh dipecah-pecahkan, tidak boleh diracik-racik, air yang dicincang ini tidak boleh putus, bulu ayam yang carik akan tetap kembali bercantum.

“Tunjukkan kita adalah umat yang bermaruah, kita ummatun wasata (umat yang sederhana), ummatun wahidah (umat yang bersatu),” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.