Isu Tulisan Jawi, Khat; Jangan Jadi Katak Dalam Perigi

KOTA BHARU 17 Ogos – Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (Peradaban) menggesa semua pihak menghentikan segera pertikaian tentang pelaksanaan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Presidennya, Datuk A. Aziz Deraman berkata, orang ramai sepatutnya membuka minda untuk melihat tulisan Jawi sebagai salah satu tulisan antarabangsa dan menjadi makna kepada jati diri seorang rakyat Malaysia.

Beliau berkata, kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan hendaklah bertegas mempertahankan apa jua kepentingan kenegaraan, bukannya tunduk kepada tuntutan perkauman yang dangkal.

“Dalam tradisi peradaban Asia Tenggara, khususnya lingkungan dunia Melayu, tulisan Jawi cukup segar digunakan dalam semua bentuk penulisan khususnya kitab-kitab dan manuskrip.

“Puluhan ribu warisan naskhah manuskrip Melayu berselerak di serata dunia, tersimpan di London, Leiden, Leningrad, Paris, Afrika Selatan dan lain-lain kota memerlukan kajian sebab itulah penguasaan tulisan Jawi menjadi sangat signifikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, jika tulisan Jawi diperkenalkan merentasi semua jenis sekolah, seniman seni lukis dan seni khat akan muncul dan menguntungkan semua pihak, sebagaimana seni khat di Turkey yang menjadi sumber pendapatan lumayan para seniman di sana.

“Bagi mereka yang menulis tulisan Jawi di papan tanda, papan iklan dan sebagainya, manfaat yang sama akan diperoleh. Latihan atau bengkel-bengkel penulisan akan menjadi punca pendapatan bagi mereka yang mahir.

“Tulisan Jawi mempunyai nilai ekonomi yang tinggi. Jangan jadikan diri kita seperti ‘katak dalam perigi’ dalam peribahasa Cina atau ‘katak dalam tempurung’ dalam peribahasa Melayu,” katanya.

Beliau berkata, bahasa Melayu mengikut perundangan menggunakan dua jenis tulisan iaitu rumi dan Jawi dan sudah tentu ia satu kerugian jika tidak diperkenalkan di kesemua jenis sekolah.

Katanya lagi, rakyat Malaysia seluruhnya tidak boleh menganggap bahasa Melayu sebagai bahasa orang Melayu semata-mata jika benar-benar menjunjung status bahasa Melayu seperti dikanunkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

“Mana-mana negara pun perlukan kepada satu bahasa negara. Bahasa negara adalah jati diri sebuah negara kebangsaan seperti Malaysia dan semua orang wajib menunjukkan taat setia kepada satu bahasa negara.

“Sebarang penentangan kepada sesuatu yang sudah diterima umum sejak kemerdekaan bahkan ratusan tahun menjadi identiti kepada bahasa serantau ini, maka sikap demikian itu tidak lebih daripada suatu psikologi penolakan (psychology of rejection) yang mahu merosakkan konsep kenegaraan dan pengisiannya berasaskan latar sejarah, pemerintahan, pentadbiran dan warisan tamadun bangsa Malaysia.

“Kita tidak mahu lihat Malaysia hilang satu persatu pancang kenegaraannya kerana tuntutan politik yang entah mahu ke mana negara ini akan dibawa. Jika ‘kedaulatan undang-undang’ mahu dipertahankan, tidak ada sebab mana-mana pemimpin menjadi talam dua muka,” katanya.

A. Aziz berkata, sesiapa sahaja yang menguasai tulisan Jawi pasti akan lebih mudah untuk mempelajari bahasa-bahasa asing yang lain khususnya bahasa Arab, Parsi dan Urdu.

“Penguasaan dalam bahasa-bahasa tersebut membolehkan kita menimba segala ilmu yang tertulis atau dikarang para ilmuwan, sarjana dan pakar-pakar sejak zaman silam dan sezaman termasuk ilmu perubatan, astronomi, matematik, kimia, algebra, sains, arkitektur dan segala macam pada zaman kegemilangan Islam dahulu dan persuratan Asia Barat masakini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.