Syed Saddiq Tidak Berlaku Adil… Mana Suara Ketika Melayu Digelar Pendatang?

KANGAR 15 Ogos – Anak didik Dr. Zakir Naik, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu menganggap Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak berlaku adil terhadap pendakwah antarabangsa itu apabila hanya diam ‘seribu bahasa’ ketika Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran menghina Melayu sebagai bangsa pendatang sebelum ini.

Soal Muhammad Zamri lagi, malah Syed Saddiq juga tidak berkata apa-apa ketika Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy menghina Islam di luar negara, apatah lagi untuk membantah atau menggesa pemimpin berkenaan dilucutkan kerakyatan.

Katanya, namun apabila kenyataan Zakir mengenai kaum Cina yang dipetik di luar konteks oleh sebuah portal, Syed Saddiq menyertai beberapa pemimpin lain yang ‘kepanasan’, sehingga sanggup menyokong Zakir diusir keluar dari negara ini.

“Zakir telah memberi ucapan secara umum namun dipetik di luar konteks oleh sebuah portal malah ada yang tambah apa yang Zakir tidak cakap. Malangnya, ada sesetengah pemimpin yang tanpa memperhalusi keseluruhan ucapan tersebut terus mengeluarkan kenyataan menghentam dan setuju Zakir diusir keluar.

“Saya lihat dalam kalangan menteri pernah beri ucapan lebih teruk daripada Zakir iaitu Kula Segaran dan Waytha Moorthy namun tidak diambil sebarang tindakan. Kula Segaran kata Melayu sebagai bangsa pendatang, tetapi masa itu, mana suara-suara pemimpin-pemimpin ini untuk membantah kenyataan tersebut,” katanya di sini hari ini.

Semalam, Syed Saddiq membidas kenyataan Zakir yang dimuat naik oleh sebuah portal dan menjelaskan, orang Cina di Malaysia bukan tetamu tetapi warganegara yang cintakan negara bertuah ini.

“Kekuatan Malaysia adalah terletak kepada kesatuan rakyatnya. Cukuplah perlekehkan kesatuan dan kesetiaan kita. Saya kenal ramai orang Cina dan India yang sanggup mati pertahankan negara tercinta kita,” jelas Syed Saddiq.

Tambah Muhammad Zamri yang juga Ketua Pegawai Eksekutif One Centre Malaysia negeri, Syed Saddiq tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang tidak selari dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang tidak bersetuju Zakir diusir keluar dari Malaysia.

Dalam pada itu, Muhammad Zamri menyeru kepada mana-mana pemimpin atau menteri yang tidak berpuas hati dengan Zakir agar datang ke Perlis pada malam Sabtu ini untuk sebuah slot sesi soal jawab bersama pendakwah Islam itu.

Katanya, sesi tersebut akan berlangsung di Masjid Al-Hussain yang juga dikenali sebagai ‘Masjid Terapung’ di Kuala Perlis dengan orang ramai boleh bertanyakan soalan kepada Zakir.- UTUSAN ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.