Kebocoran Maklumat: Laporan Polis Terhadap IGP Dan Pegawai Penyiasat Kes Pembunuhan Syed Muhammad Daniel


KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Sekretariat Suara Rakyat membuat satu laporan polis ke atas Datuk Hamid Bador, Ketua Polis Negara (IGP) dan pegawai penyiasat (IO) kes bunuh Syed Muhammad Daniel Syed Syakir, ASP Siti Sarah Aisyah Saad berhubung penularan satu keping gambar ‘still image’ yang diambil daripada rakaman video kejar-mengejar dan pergaduhan yang disyaki bertujuan untuk menyelamatkan seorang pembunuh dan memburukkan seorang mangsa pembunuhan.

Ujar Pengerusinya, Datuk Lokman Noor Adam, laporan tersebut dibuat memandangkan gambar ‘still image’ tersebut telah diambil daripada video yang dirakam oleh isteri Yew Wei Liang.

“Laporan ini dibuat ke atas ASP Siti Sarah Aisyah kerana beliau adalah pegawai penyiasat kes ini dan Yew Wei Liang serta isterinya kini ditahan untuk membantu siasatan di bawah seksyen 302 Kanun Kesiksaan atas tuduhan membunuh.

“Isteri Yew Wei Liang ditahan kerana beliau merakam perbuatan jenayah yang dilakukan suaminya. Ini bermakna, ‘handphone’ isteri pembunuh tersebut kini berada di dalam simpanan pihak polis sebagai bahan bukti.

“Memandangkan kes ini, ‘kes berkepentingan umum’, adalah sangat mustahil ASP Siti Sarah Aisyah mengeluarkan sebahagian daripada bukti yang beliau perolehi daripada rakaman isteri Yew Wei Liang ‘secara terpilih’, iaitu dengan mengeluarkan gambar Arwah Syed Daniel meluru ke arah bahagian tengah bonet depan kereta Yew Wei Liang dengan kayu ‘softball’, tanpa arahan Ketua Polis Negara,” tegasnya kepada media sebaik sahaja membuat laporan polis tersebut di Balai Polis Dang Wangi, di sini malam tadi.

Jelas Lokman yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, memandangkan gambar ‘still foto’ itu jelas membuktikan bahawa pihak polis mempunyai rakaman penuh kejadian yang berlaku di antara Yew Wei Liang dengan Syed Muhammad Daniel, hasil rakaman isteri Yew Wei Liang, maka katanya laporan polis tersebut dibuat bagi meminta pihak polis menyiasat IGP dan IO terbabit juga atas beberapa sebab.

“Mereka berdua disyaki mahu membantu Yew Wei Liang dari hukuman maksimum dan dikecam oleh Netizen kerana memukul dan melanggar mati Arwah Syed Daniel dengan mengeluarkan hanya gambar terpilih yang hanya menunjukkan Syed Daniel yang menyerang bonet depan kereta Yew Wei Liang.

“Jika gambar Syed Daniel boleh ditularkan, tidak ada sebab pihak IGP tidak boleh menularkan video penuh insiden terbabit bagi menghentikan spekulasi dimedia sosial yang boleh mencetuskan ketegangan kaum.

“Laporan ini juga dibuat bagi memaklumkan pihak IGP bahawa kini rakyat tahu akan kewujudan video yang dirakam isteri Yew Wei Liang dan mengesa agar pihak polis memastikan bukti rakaman isteri Yew Wei Liang ini tidak hilang seperti rakaman CCTV Hotel Four Point Sandakan (Sepertimana dimaklumkan Farhash dalam kenyataan media beliau), yang boleh membuktikan bahawa Azmin Ali dan Haziq Aziz telah memasuki bilik yang sama lebih 45 minit,” jelasnya lagi.

Justeru Lokman berharap pihak polis dapat menyiasat dan memastikan mereka yang cuba melindungi pembunuh Syed Daniel ini dan sekaligus melanggar Seksyen 203A (1) dan (2) Kanun Kesiksaan, kerana membocorkan maklumat yang mereka perolehi semasa menjalankan tugas dapat dihadapkan kemuka pengadilan bersama Yew Wei Liang.

“Seksyen 203A (1) seorang penjawat awam yang mendapat apa-apa maklumat dan bukti dia menyebarkan maklumat itu atau membocorkan maklumat itu, dia boleh didakwa di bawah Seksyen 203A (1) dan boleh dijatuhkan hukuman satu tahun penjara atau RM1 juta denda atau kedua-duanya sekali. Kesalahan ini bukan satu kesalahan yang kecil.

“Saya nak tanya, apa tujuan pegawai penyiasat ini atau mana-mana pihak dalam pasukan penyiasatan itu mengeluarkan gambar ini sahaja.

“Kalau keluarkan gambar ini bertujuan untuk menyejukkan hati rakyat yang tengah marah dengan Yew Wei Liang ini dan untuk memberikan imej yang sangat negatif kepada seorang yang sudah meninggal dunia, saya nampak nasib yang dihadapi Adib (Allahyarham) sudah pasti akan ditimpa oleh arwah Syed Muhammad Daniel juga,” tegasnya sekali lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.