Tarik Bantuan Pekebun Kecil: Adakah Kerajaan PH Balas Dendam Terhadap Rakyat?

SEKIJANG, 13 Ogos – Naib Ketua UMNO bahagian Sekijang, Anuar Abd Manap berkata, tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menarik bantuan pekebun kecil dan penoreh getah adalah satu tindakan ‘balas dendam’ kepada golongan pekebun kecil yang dilabelkan sebagai penyokong tegar Barisan Nasional (BN).

Jelas beliau, dalam suasana ekonomi yang tidak baik dan harga komoditi yang merudum, kerajaan sepatutnya lebih prihatin dan terus memberi, bukannya menarik balik bantuan.

“Saya memang tidak bersetuju dengan kenyataan Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim. Dia sepatutnya sedar mengapa kerajaan BN dahulu memperkenalkan bantuan penanaman semula ini… sebab nak mulakan balik proses penanaman ini memakan kos yang agak tinggi. Satu hektar boleh mencecah RM9 ke 10 ribu.

“Jadi bila ada insentif kepada pekebun kecil ini, sedikit sebanyak ia dapat mengurangkan beban yang ditanggung oleh para pekebun.

“Adakah tindakan kerajaan ini sebenarnya bermotifkan balas dendam kerana mereka menyedari para pekebun kecil ini tidak megundi PH pada PRU lepas,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Anuar, inilah akibatnya apabila meletakkan seorang menteri yang tidak ada jiwa ‘luar bandar’ sehinggakan tidak dapat merasai denyut nadi masyarakat luar bandar.

“Bila letak menteri yang tidak tahu pasal luar bandar, inilah jadinya… sebab itu keluar kenyataan suruh menoreh dalam musim tengkujuh,” bidas beliau.

Baru-baru ini, Teresa berkata, kerajaan tidak akan melaksanakan kembali skim bantuan penanaman semula kepada pekebun kecil di negara ini kerana mahu bersikap adil kepada semua pihak.

Walaupun sedar ramai pekebun kecil persendirian merayu supaya skim tersebut diperkenalkan semula, Teresa Kok menyifatkan skim itu hanya memberikan kelebihan kepada satu pihak sebelum ini dan tidak membabitkan keseluruhan termasuk pekebun tersusun di Felda dan Felcra. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.