Isu Tulisan Khat: Rakyat Jangan Terperangkap… PH Bukan Pejuang Tapi Semarak Api Perkauman

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam berkata, rakyat jangan terperangkap dengan isu pelaksanaan tulisan khat jawi yang sedang dimainkan oleh Pakatan Harapan (PH) ini.

Jelas beliau, rakyat perlu sedar isu ini mempunyai udang sebalik batu dan ia bermotifkan politik.

“Isu ini tidak lain tidak bukan adalah satu sandiwara… kononnya ingin menunjukkan bahawa PPBM mampu untuk mempertahankan apa yang dilakukan oleh UMNO iaitu mempertahankan agama Islam, hak istimewa orang Melayu, bahasa Melayu dan juga kedudukan Raja-raja.

“Namun hakikat dan realitinya jauh panggang dari api. Tulisan khat jawi ini lenyap ketika zaman Tun menjadi Perdana Menteri tetapi kini Tun ingin menunjukkan kononnya PPBM memperjuangkan tulisan khat jawi. Dulu, kenapa Tun tidak membantah tulisan jawi ini dihentikan?

“… dan apa rasionalnya kali ini tulisan jawi hendak dilaksanakan di sekolah Cina dan Tamil? Bukankah ini sebenarnya hanyalah satu sandiwara semata-mata untuk membakar api perkauman antara orang Melayu dengan bukan Melayu?” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Lokman, beliau tidak menafikan bahawa tulisan jawi ini sememangnya harus dipertahankan tetapi jangan sesekali rakyat terpedaya dengan apa yang dilaungkan oleh PPBM kerana niat mereka bukan untuk mempertahankan tetapi adalah lebih kepada bermain politik.

Baru-baru ini tindakan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi menunjukkan tulisan jawi digunakan dalam bahan bacaan lucah, disifatkan sebagai menghina tulisan berkenaan.

Satu rakaman video pendek tular menunjukkan Shu Qi mengaitkan tulisan jawi yang pernah digunakan bagi menulis buku pornografi suatu ketika dahulu, bagi menjelaskan bahawa tulisan itu tidak terhad kepada agama Islam semata-mata.

Video itu menimbulkan polemik dalam kalangan netizen, khususnya orang Melayu yang rata-ratanya tidak bersetuju dan tersinggung dengan contoh yang digunakan.

Shu Qi dalam satu kenyataan baru-baru ini mengakui menggunakan contoh berkenaan dalam satu sesi dialog tertutup bersama 28 persatuan mewakili penduduk Cina di Kluang, Johor. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.