Adakah Wong Shu Qi Contoh Produk Dong Zong Yang Terbukti Rasis Dan Tidak Sensitif?


KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Fairuz Jamaludin membantah sekeras-kerasnya tindakan YB Dap, Wong Shu Qi yang sedang bermain api perkauman dan langsung tidak menjaga sensitiviti kaum lain dalam negara berbilang kaum.

Tegasnya, tidak cukup dengan Ahli Parlimen Kepong YB Lim Lip Eng menghina tulisan jawi maka Ahli Parlimen Kluang YB Wong Shu Qi pula mengaitkan sejarah tulisan jawi dengan buku lucah.

“Tindakan itu merendahkan martabat tulisan Jawi dan membangkitkan kemarahan rakyat Malaysia terutamanya bangsa Melayu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Jelas beliau, YB Kluang merupakan pelajar lepasan Sijil Unified Examination Certificate (UEC) dan kemudian melanjutkan pengajian ke Taiwan dalam bidang Kewartawanan dan Sains Politik di Universiti Nasional Chengchi.

“Salah seorang rakyat Malaysia yang terpisah dengan sistem pendidikan negara, seorang ahli Parlimen yang tidak sensitif dengan budaya dan sejarah kaum lain. Bersikap jumud dan assabiyah.

“Adakah ini produk yang dihasilkan oleh Dong Zong? Mendidik rakyat menjadi rasis tanpa ada sifat menghormati budaya dan adat kaum lain? Dong Zong wajar bertanggungjawab atas segala kenyataan dan tindakan YB Kluang.”

Bidas beliau, YB Kluang perlu tahu bahawa Seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan 1967 menyebut ‘Tulisan bagi bahasa kebangsaan ialah tulisan Rumi: dengan syarat bahawa ini tidak melarang penggunaan tulisan Melayu, yang lebih dikenali dengan nama tulisan Jawi, bagi bahasa kebangsaan.’

“Kenyataan YB Kluang akan meninggalkan kesan luka kepada 20.4 Juta (69.3%) penduduk Bumiputera di Malaysia. Sekurang-kurangnya, YB Kluang patut fikir mengenai perasaan 40,345 (42%) pengundi Melayu di Kluang. Kenyataan YB Kluang yang menghina tulisan Jawi akan menjarakkan lagi ruang perpaduan antara kaum di Malaysia seperti ‘menyimbah minyak ke dalam api yang sedang membara’.”

Sehubungan itu beliau mendesak pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap YB Kluang itu mengikut Akta Hasutan 1948 kerana dengan jelas dan terang telah mengeluarkan kata-kata yang berbaur hasutan.

“Tindakan YB Kluang yang tidak sedar diri ini bagai ‘kaduk naik junjung’. Lupa diri dan asal usul.” – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.