Bantah Jawi: Warganegara Tapi Masih Bermentaliti Pendatang… Jangan Jadi Ulat Bulu Rosakkan Daun

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo amat bersetuju dengan pandangan Prof Datuk Dr Teo Kok Seong, bagi mereka yang menentang tulisan jawi dimasukkan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, mereka adalah warga negara Malaysia tetapi masih berfikir mereka itu pendatang.

Kata Dr Khir, jangan jadi ulat bulu hinggap di daun apa pun daun akan rosak.

“Bila dah tahu jadi rakyat Malaysia, mereka kena faham budaya kita di negara ini, mereka kena akui orang Melayu adalah orang pertama yang membentuk kerajaan pertama di Tanah Melayu dan diiktiraf sebagai pemilik kepada bumi bertuah ini.

“Sudah barang pasti budaya Melayu mesti menjadi teras asas budaya negara. Tulisan jawi adalah tulisan awal Bahasa Melayu dan semua rakyat mesti mengetahuinya.

“Jika mereka benar-benar rakyat Malaysia mereka sepatutnya tidak takut dengan tulisan jawi, dengan mengetahui dan boleh menulis jawi tidak akan menjadi mereka kurang Cina atau India,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook.

Malah jelasnya lagi, ia akan membezakan mereka dengan orang Cina atau India yang menjadi warganegara dan lain-lain negara di dunia.

“Jika mereka benar-benar bangga menjadi warganegara Malaysia, mereka sepatutnya berusaha untuk mendalami tulisan jawi ini, malah boleh menggunakannya dalam hidup seharian.

“Jangan jadi ulat bulu, hinggap di tangan, satu tangan gatal dan bengkak, di mana ulat bulu jatuh rosaklah tempat itu,” bidasnya.

Dr Khir turut berpesan kepada golongan yang diumpamakan ulat bulu tersebut.

“Kepada mereka ulat bulu ini, janganlah kerana anda, rosak budaya satu negara.

“Di masa hadapan tidak ada apa yang boleh kita banggakan sebagai rakyat negara ini yang tidak tahu asal usul akar budaya bangsanya,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.