Mengapa Pelaburan RM1.3 Bilion Temasek Holdings Di P. Pinang Gagal?


PULAU PINANG, 9 Ogos – Pergerakan Wanita UMNO mendesak Kerajaan Negeri Pulau Pinang menjelaskan kepada umum khususnya penduduk Pulau Pinang mengapa pelaburan dengan Temasek Holdings bernilai RM1.3 bilion di negeri gagal.

Naib Ketuanya, Datuk Norliza Abd. Rahim berkata, berdasarkan laporan media, projek yang sepatutnya membawa masuk hampir 25,000 hingga 30,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi itu gagal kerana Temasek Holdings mendapati keadaan pasaran tidak menepati keperluan mereka.

Tambah beliau, perkara itu setelah perbincangan dan penilitian semula projek tersebut bersama rakan kongsi yang lain seperti Penang Development Corporation (PDC) dan Economic Development Innovations Singapore (EDIS).

Namun, ujar Norliza yang juga Ketua Wanita UMNO negeri, dalam laporan sama, jurucakap Temasek Holdings dilaporkan berkata mereka sentiasa terbuka untuk melabur dalam sebarang projek di negara ini.

“Ini seolah-olah menunjukkan pelabur-pelabur bertaraf antarabangsa yang besar seperti Temasek Holdings tiada keyakinan untuk melabur di Pulau Pinang sedangkan mereka secara terbuka menyatakan akan tetap terus terbuka untuk melabur di Malaysia.

“Adakah ini bermaksud keadaan ekonomi di negeri ini tidak sehebat seperti yang sering dilaungkan oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow?” katanya.

Menurut Norliza, sekiranya Temasek Holding yakin dengan situasi ekonomi di negeri ini, maka mengapa projek yang dilancarkan pada 2014 dan dijangka siap dalam lima hingga10 tahun dari tahun pelancarannya tiba-tiba dihentikan.

Sedangkan, tambah beliau, kajian-kajian daripada firma analisis pasaran bertaraf antarabangsa seperti International Data Corporation (IDC) mendapati industri BPO di Malaysia dijangka berkembang pesat pada kadar 7.9 peratus setahun dan mencapai nilai AS$1.4 bilion (RM5.8 bilion) pada 2023.

“Semua ini perlu dijelaskan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang dipimpin Pakatan Harapan (PH) yang sering melaungkan kemampanan ekonomi sebagai antara kejayaan utama mereka.

“Ini juga selaras dengan prinsip ketelusan yang didakwa menjadi tunjang utama pentadbiran mereka dan penduduk Pulau Pinang harus mengetahui faktor di sebalik kegagalan projek yang cukup besar dan bermanfaat ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.