Hina Bendera Bermakna Hina Negara, Tak Layak Jadi Warganegara! – Subash


KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Setiausaha Penerangan MIC Pusat, Subash Chandrabose Arumugam Pillai kesal terdapat segelintir individu rakyat di negara ini yang masih tidak bersikap patriotik.

Dalam satu hantaran di Facebook, Subash berkata beliau mampu menahan kesabaran melihat kebodohan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir tetapi boleh hilang sifat tersebut terhadap mereka yang menghina Jalur Gemilang; lambang kemegahan negara.

“Saya masih boleh sabar melihat kebodohan PH memerintah negara, tetapi saya hilang kesabaran melihat orang menghina bendera negara saya!

“Hina bendera negara sama dengan hina negara!

Korang tak layak jadi warganegara! Tegasnya.

Subash yang juga Timbalan Presiden SEDAR Malaysia dipercayai mengulas mengenai isu yang tular di media sosial di mana posting taikun perniagaan hartanah, Tan Sri Lee Kim Yew yang menunjukkan sikap ‘kurang ajar’ apabila bertindak menukar warna jalur putih di bendera Malaysia kepada hitam sebagai tanda protes dalam isu pengenalan tulisan khat.

Perbuatan tersebut katanya kononnya mahu menyindir Kementerian Pendidikan yang mungkin akan menukarkan warna bendera tersebut sama seperti menukar warna kasut sekolah daripada putih kepada hitam.

Tindakan Pemilik Country Heights Holdings Bhd dan The Mines itu juga mendapat kecaman dari pelbagai pihak sehingga memaksa Lee meminda postingnya itu dan hari ini dalam satu kenyaatan di Facebook, Lee meminta maaf atas kesilapannya itu.

Justeru, Subash turut mempersoalkan di mana suara Menteri Jabatan Perdana Menteri, Waytha Moorthy yang menjaga hal ehwal perpaduan negara dalam isu tersebut.

“Mana menteri perpaduan kita?

“Yang buat tak salah tetapi yang sebar pula akan disalahkan? Sinis Exco Pemuda MIC pusat itu lagi.

Beberapa tahun sebelum ini, tular foto sekumpulan pelajar Malaysia yang sedang belajar di Taiwan Global Technology bergambar dengan Jalur Gemilang yang diterbalikkan. – UMNO ONLINE