Satu Tahun Tiga Bulan Berlalu… Rejim PH Zalim, Kerajaan Harapan Palsu – Armand

SUBANG, 7 Ogos – Di kala rakyat memerlukan sebuah kerajaan yang fokus kepada isu kebajikan dan kestabilan ekonomi negara, pentadbiran dan kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH) lebih berminat isu perebutan jawatan perdana menteri serta pergolakan dalaman parti masing-masing.

Justeru, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata jelas kelihatan majoriti rakyat kini boleh dikatakan jelak dengan masalah dalaman PH bila berada di puncak kuasa.

Bidasnya, laungan hidup rakyat hanyalah laungan retorik untuk mendapat kepercayaan rakyat dahulu.

“Rakyat Malaysia kini merasakan pentadbiran dan kepimpinan PH gagal membina Malaysia Baru.

“Rakyat Malaysia kini nampak sebuah rejim kerajaan zalim, kerajaan harapan palsu.

“Sama-sama kita doakan hubungan UMNO dan PAS terus diperkukuhkan ke arah perpaduan ummah untuk kita kembali berkuasa pada PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke-15), Insya-Allah,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Jelasnya lagi, selepas lebih setahun tiga bulan, perubahan yang PH canangkan dengan Malaysia Baharunya hanyalah omokan kosong tambahan pula dengan kegagalan menunaikan janji-janji semasa PRU-14 lalu.

Berikut merupakan kenyataan penuh Armand, yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang merungkai dalam masa setahun tiga bulan sahaja PH telah menjadikan negara ke arah yang lebih teruk.

Assalamu’alaikum dan salam perjuangan,

‘Pakatan Harapan Palsu’

9hb Mei 2018 laungan Malaysia Baru menjadi siulan rakyat Malaysia. Pelbagai harapan rakyat menjadi taruhan kepercayaan sehingga sanggup buat perubahan kerajaan.

Anak muda dengan harapan PTPTN, warga petani, peladang dan nelayan akan dijaga kebajikan lebih baik. Warga Felda dan Risda dijanjikan pelbagai janji manis, kos sara hidup akan turun, peluang pekerjaan 1 juta, harga minyak petrol RM1.50, tol akan dimansuhkan, BR1M akan dinaikkan, undang-undang negara akan diperbaiki, kestabilan politik, ekonomi negara akan lebih kuat dan macam-macam lain yang telah dijanjikan pada seluruh rakyat Malaysia.

Kini selepas lebih 1 tahun 3 bulan, rakyat merasakan mereka telah buat kesilapan kerana apa yang mereka sangka perubahan Malaysia Baru kini hanyalah omokan kosong sahaja. Sangkaan menjadi baik kini menjadi lebih teruk.

Lihat sahaja di media sosial bila di kalangan Netizen yang dahulunya penyokong Pakatan hari ni telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan negara, bukan hanya di media sosial jika kita di pejabat, restoran, masjid, kuil, tokong, dalam bandar mahupun luar bandar kini sudah merasakan kerajaan Pakatan Harapan gagal mentadbir negara kita dengan baik.

Lihat sahaja kenyatan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, para menteri dan kepimpinan Pakatan yang dilihat kurang matang dan tidak langsung menjaga sensitiviti rakyat.

Isu Sungai Kim Kim di Johor kita lihat kerajaan sehingga kini gagal mencari penyelesaian malah mengeluarkan pelbagai kenyataan yang bercanggah.

Isu Peguam Negara Tommy Thomas hari ini secara jelas pertama kali dalam sejarah negara kita lebih banyak jadi alat poltik daripada mengangkat martabat institusi undang-undang negara.

Hari ini rakyat Malaysia nampak bagaimana institusi undang-undang negara telah dirogol demi kepentingan politik.

Kes-kes profil tinggi yang dibuat pendakwaan tanpa bukti kukuh, kes yang perlu keadilan seperti kes Adib dijadikan mainan politik, pembuangan kes seperti isu Terowong Pulau Pinang masih menjadi tanda tanya.

Isu Ketua Polis Negara juga dilihat sudah hilang kredibiliti bila kini terlalu banyak main politik. Pertama kali juga dalan sejarah negara bila IGP dijadikan alat politik oleh kerajaan secara terbuka.

Lihat sahaja bagaimana isu video yang viral sehingga kini menjadi persoalan rakyat iaitu siapa pelaku dalam video tersebut. IGP dilihat ‘playsafe’ dalam isu tersebut kerana ada tangan-tangan ajaib yang mengawal keputusan beliau.

Isu PTPTN dahulu dijanjikan akan mansuh kini dipaksa buat pembayaran dengan dasar baru kerajaan yang jelas menekan anak-anak muda.

Hutang negara makin meningkat ke arah RM1 trillion dalam masa 1 tahun 3 bulan penambahan hutang negara lebih RM100 billion, kegilaan apa yang dibuat oleh Pakatan ini?

Aset-aset strategik negara banyak dijual, saham-saham utama banyak dijual, subsidi rakyat banyak ditarik. Soalan di sini mengapa hutang negara makin meningkat dan apa jadi dengan duit Tabung Harapan yang bernilai lebih RM200 juta?

Lebih 1 tahun 3 bulan kita lihat sudah berapa kali PM dan menteri Pakatan telah keluar negara untuk cari FDI atau pelabur bagi negara sehingga kini gagal menarik pelabur. Ini sebenar tidak baik untuk ekonomi negara bagi jangka masa panjang kerana ianya akan buat negara kita ke arah kegawatan ekonomi negara.

Lebih 1 tahun 3 Bulan bursa saham kita jatuh dengan teruk sekali berbanding zaman BN memerintah sebelum 9hb Mei 2018.

Isu rakyat yang dirasai baik bandar dan luar bandar adalah kos sara hidup makin meningkat, rata-rata kini sudah merasai tekanan ini barangan keperluan asas kini makin meningkat, sekali lagi kerajaan Pakatan gagal menyelesaikan kos sara hidup rakyat.

Dalam keadaan rakyat tertekan, kenyataan menteri yang mengatakan kerajaan akan membatalkan bantuan bagi petani dan peladang kecil dilihat satu tindakan zalim kerajaan terhadap rakyat khususnya golongan B40.

Bantuan BR1M zaman BN penerima lebih 7 juta rakyat Malaysia kini sudah dikurangkan kepada 3 juta rakyat Malaysia.

Pentadbiran dan kepimpinan Pakatan lebih berminat isu siapa bakal PM 8 di kala waktu rakyat perlukan kerajaan fokus isu kebajikan dan kestabilan ekonomi rakyat, tapi kini secara terbuka lebih berminat bermain politik.

Majoriti rakyat kini boleh dikatakan jelak dengan masalah dalaman Pakatan Harapan bila dipuncak kuasa. Laungan hidup rakyat hanyalah laungan retorik untuk mendapat kepercayaan rakyat dahulu.

Rakyat Malaysia kini merasakan Pentadbiran dan Kepimpinan Pakatan gagal membina Malaysia Baru.

Rakyat Malaysia kini nampak sebuah rejim kerajaan zalim, kerajaan harapan palsu.

Sama-sama kita doakan hubungan UMNO dan PAS terus diperkukuhkan ke arah perpaduan ummah untuk kita kembali berkuasa pada PRU-15, Insya-Allah.

Datuk Armand Azha Haji Abu Hanifah
7 Ogos 2019

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.