DUN Kedah: Program Kem Solat Hendak Buat Di Mana?

ALOR SETAR 7 Ogos – Suasana Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri semalam ‘hangat’ apabila pembangkang bangkit menyatakan rasa tidak puas hati terhadap larangan yang dikenakan terhadap mereka untuk mengadakan majlis di dalam masjid.

Datuk Suraya Yaacob (BN-Sungai Tiang) berkata, larangan itu bersifat seolah-olah kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) cuba mengenepikan peranan wakil rakyat pembangkang.

Katanya, ini termasuk larangan untuk beliau menganjurkan satu program kem solat di dalam masjid, baru-baru ini.

Beliau menarik perhatian bagaimana di kawasannya terdapat penyelaras parti yang bertindak seperti seorang wakil rakyat, malah menggunakan dengan bebas sebuah premis yang menjadi hak kepentingan awam milik kerajaan.

“Apakah sebenarnya dasar kerajaan negeri terhadap perkara ini? Wakil rakyat diketepikan (peranan) tetapi penyelaras parti diberikan hak sebagai ADUN hanya melalui mesyuarat majlis kerajaan negeri.

“Selain itu, saya ingin bertanya kalaulah program kem solat tidak boleh dijalankan di masjid, jadi dimanakah hendak diadakan? Adakah di wat Siam?,” soalnya secara sinis.

Beliau berkata demikian semasa sesi perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman semalam.

Suraya berkata, menerusi program kem solat yang diadakan di masjid, rumah ibadat itu boleh dimakmurkan malah anak-anak kariah dapat mengenali imam dan pengurusannya.

“Ini sesuai dengan zaman Rasulullah yang menjadikan masjid sebagai pusat pentadbiran negeri dan perkembangan ilmu,” katanya.

Muhammad Sanusi Mohd. Nor (Pas-Jeneri) berkata, istilah ‘berpolitik’ di dalam masjid perlu diberi tafsiran yang jelas bagi mengelak berlakunya salah faham masyarakat.

Katanya, hal demikian kerana sekiranya seorang pemimpin kerajaan yang juga ahli politik dibenar menyampaikan ucapan di dalam masjid, begitu juga sepatutnya pemimpin pembangkang.

“Selagi mana ahli politik itu mempunyai kelayakan agama dan tidak menyeru untuk memasuki mana-mana parti politik. Ini tidak, ahli politik kerajaan dianggap pengurusan (pentadbiran kerajaan), namun dia sebenarnya juga adalah seorang ahli politik,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.