Operasi Lynas Diteruskan Akibat Hutang Jepun ‘Jawapan Tidak Cerdik’ Pemimpin PH

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Fuziah Salleh dianggap telah gagal sebagai seorang ahli parlimen, seorang timbalan menteri dan seorang warganegara Malaysia ekoran kenyataan demi kenyataan beliau setelah menjadi kerajaan telah berubah 360 darjah berbanding ketika bergelar pembangkang.

Ketua Pemuda UMNO Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah melihat Fuziah antara Ahli Parlimen yang bersungguh-sungguh dan lantang mengkritik Lynas namun hari ini kenyataannya berubah yang menunjukkan beliau seorang yang tidak bertanggungjawab ‘munafik’ dan hipokrit.

Dilaporkan, semalam, Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan menuduh hutang Jepun sebagai punca operasi Lynas Corporation Bhd terpaksa diteruskan.

“Adalah suatu jenaka tidak cerdik yang beliau lakukan dengan menyalahkan hutang yang dibuat kerajaan mereka sendiri dengan suatu isu yang boleh kerajaan mereka sendiri putuskan,” tegasnya dalam kenyataan media hari ini.

Ujarnya, dahulu Fuziah mengatakan Lynas berbahaya, membahayakan kesihatan serta mencemarkan alam sedangkan pada Oktober 2018 lalu beliau menyatakan dengan meneruskan Lynas menunjukkan kerajaan PH mesra alam.

“Apakah dia ini sudah hilang kewarasan? Dia sendiri boleh lihat sendiri apakah kenyataan-kenyataan yang dikeluarkannya sebelum ini.

“Heroin Alam Sekitar ini nampaknya tidak pernah serik dan belajar daripada kesilapan. Apakah orang yang sebegini layak memimpin sebuah kementerian?

“Memalukan diri sendiri, keluarga dan pengundi Kuantan sendiri. Pelbagai macam alasan dan kenyataan digunakan untuk menghalalkan Lynas”

Bidasnya, Fuziah lupa apa yang dia lakukan sebelum ini, memfitnah dan memburukkan kerajaan sebelum ini tentang perkara Lynas maka hari ini dia menerima padahnya apabila rakyat tidak lagi percaya kepadanya.

“Hutang Jepun yang dipinjamkan kepada Malaysia tidak sepatutnya dipersalahkan dalam apa-apa isu dan polisi yang dilaksanakan oleh kerajaan pada waktu ini. Sekarang ini, hutang Kerajaan Malaysia telah meningkat sebanyak RM 776 billion daripada RM 686 billion tidak sampai 500 hari PH memerintah. Hutang kerajaan melalui bon ini juga dipersetujui oleh Perdana Menteri mereka. Apakah dia sudah lupa?

“Sepatutnya, YB Fuziah perlu memahami asas radioaktif itu sendiri sebelum melaksanakan kempen anti-Lynas sewaktu beliau menjadi pembangkang. Nadir bumi, bukanlah bahan yang mempunyai sifat radioaktif yang tidak terkawal. Syarikat Lynas Corporation Ltd. juga memberi jaminan bahawa sisa tidak akan menjejaskan persekitaran kerana pengurusan sisa yang dikeluarkan oleh kilang Lynas ini dikawal dengan sangat rapi serta menepati standard antarabangsa.

“Kempen anti-Lynas adalah kempen yang memakan diri sendiri kerana beliau tidak memahami asas radioaktif itu sendiri. Apabila menjadi kerajaan pada hari ini, beliau menuduh operasi kilang Lynas terpaksa diteruskan akibat hutang dari Jepun yang mereka sendiri cipta.”

Begitu juga katanya, apa yang telah berlaku di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Kerajaan PH masih gagal mencari jalan penyelesaian untuk kes ini. Isu pencemaran yang berlaku, yang disalahkan adalah burung merpati.

“Pelik, tapi itulah kenyataan yang dilakukan kerajaan hari ini.”

Sehubungan itu beliau menyeru Fuziah untuk kembalilah ke pangkal jalan.

“Belajarlah daripada kesilapan. Tiga perkara tentang perkara ini yang beliau perlu faham dan belajar iaitu pertama, memahami erti sebenar radioaktif. Kedua, memahami perbezaan antara hutang negara dan isu alam sekitar, dan ketiga, usah memfitnah orang lain tanpa bukti. Ianya makan diri!” – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.