Isu Lynas: Pemuda UMNO Pahang Pelawa Fuziah Berdebat Rungkai Persoalan


KUANTAN, 6 Ogos – Pemuda UMNO Pahang menawarkan satu perbahasan terbuka di antara Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh bersama pihak Pemuda UMNO negeri bagi merungkai persoalan-persoalan dan memberi ruang kepada Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu menjelaskan apa yang dimaksudkan melalui surat terbukanya mengenai isu Lynas, kata Ketuanya, Mohd Farid Mohd Nor.

Ujar Farid, demi menghormati kedudukan beliau sebagai Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen, Pemuda UMNO juga bersedia untuk menawarkan pendebat yang setara bagi membolehkan rakyat menilai hujah kedua-dua belah pihak dan satu surat jemputan rasmi akan disampaikan kepada pihak Fuziah berhubung pelawaan tersebut.

Tawaran tersebut dibuka setelah Farid membaca dengan teliti surat terbuka Fuziah berhubung dengan keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) membenarkan Lynas Advanced Material Plant untuk terus beroperasi di Malaysia dengan syarat dibina satu tapak pelupusan kekal bagi sisa Nadir Bumi yang telah diproses.

“Hakikatnya syarat tersebut merupakan syarat yang telah digaris oleh kerajaan Malaysia era pemerintahan Barisan Nasional (BN) yang telah memberi kelulusan untuk Lynas beroperasi.

“Yang Berhormat (YB) Fuziah masih menyalahkan kerajaan terdahulu di sebalik kuasa yang dimiliki oleh Pakatan Harapan, lesen operasi Lynas TAMAT pada 2 September 2019, Pakatan Harapan telah membuat keputusan MELULUSKAN permohonan untuk Lynas terus beroperasi di Malaysia,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Selain itu tambah Farid, Fuziah juga mendakwa Lynas tidak memberi manfaat langsung kepada Malaysia kerana pengecualian cukai diberi untuk tempoh 12 tahun sejak 2012.

“Bagaimana dengan kos lain? Elektrik, air, gas, minyak, kutipan Pihak Berkuasa Tempatan, bayaran penggunaan pelabuhan, pengangkutan adakah ini kos-kos ini tidak memberi manfaat kepada ekonomi negara?

“Sementelah tempoh 12 tahun hanya berbaki 5 tahun sahaja lagi, kutiplah seberapa banyak cukai selepas itu,” katanya.

Mengulas lanjut, Farid turut menimbulkan persoalan kepada Fuziah, dahulunya ketika berada dalam pembangkang merupakan seorang pejuang anti-Lynas yang kini membuat pusingan U menyokong setelah menjadi kerajaan.

“Lynas juga dikatakan hanya menggaji 600 orang pekerja? Adakah YB Fuziah merasakan jumlah ini sedikit?

“Adakah mereka tidak punya keluarga, tidak makan dan minum serta menggunakan lain-lain perkhidmatan bagi membolehkan ekonomi setempat bergerak?

“Di sebalik kegagalan kerajaan Pakatan Harapan menyediakan peluang baru pekerjaan, adakah kita bersedia menambah sejumlah 600 orang lagi dalam statistik pengangguran negara? Soalnya lagi.

Begitu juga berkaitan pinjaman wang dari kerajaan Jepun yang didakwa sebagai salah satu faktor negara terpaksa akur memandangkan produk Lynas 100% dieksport ke Jepun.

“Adakah di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir hari ini Malaysia telah hilang kedaulatan? Apakah Malaysia dipaksa untuk meminjam?

“Berapa banyak hutang lain Malaysia berjaya dilunaskan melalui pinjaman tersebut? bidasnya.

Tetapi apa yang paling menghairankan bagi Farid, Fuziah turut mendakwa bahawa keputusan kabinet dipengaruhi oleh beberapa anggota kabinet kerajaan hari ini yang pernah berada dalam kerajaan dahulu.

“Adakah Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dimaksudkan oleh Fuziah kerana hanya beliau yang menjadi anggota kabinet Barisan Nasional sekitar 2008-2013,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.