UMNO Dukung Perlembagaan Negara, Tidak Akan Biarkan Mana-Mana Pihak Hancurkannya


BAGAN DATUK, 5 Ogos – Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, UMNO akan sentiasa mendukung perlembagaan negara dan tidak akan membiarkan pihak yang tidak bertanggungjawab menghancurkan keharmonian negara ini.

Jelas beliau, perlembagaan negara akan terus menjamin hak semua kaum dan tidak ada sesiapa pun yang berhak untuk mempertikaikan perlembagaan negara.

“Baru-baru ini ada pihak yang nak uji keutuhan dan kekuatan rakyat. Ada yang cuba hasut dari segi agama, kaum dan sebagainya. Ini semua ujian dan menjadi cabaran kepada UMNO bagaimana kita nak atasi situasi ini.

“Mereka cuba mengapi-apikan agar timbul kekecohan, mereka menghina agama Islam. Apakah kita boleh biar perkara ini?

“Ada lagi mereka yang menghina Nabi Muhammad SAW. Kita patut bertegas, tidak boleh biarkan! Mereka cuba nak kuasai kita dengan cara yang mudah, dengan memperlekehkan agama kita, memperkecilkan keistimewaan yang dijamin dalam perlembagaan. Inilah yang mesti kita jaga baik-baik kerana kerajaan sekarang tidak berupaya untuk kawal semua ini,” ujar beliau ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk di Dewan Perdana Kompleks UMNO Bagan Datuk, Sungai Sumun, semalam.

Tambah Tengku Razaleigh, disebabkan kegagalan Pakatan Harapan (PH), maka negara ini semakin celaru termasuklah keadaan ekonomi yang menjadi kucar-kacir.

“Inilah masalah yang kita hadapi. PH nak kuasa, bila dapat kuasa apapun tak buat… kosong, yang buat hanyalah hapus GST tetapi lepas itu tidak ada duit nak belanja maka jadilah mereka kerajaan yang gagal,” bidas beliau.

Turut hadir dalam mesyuarat tersebut adalah Presiden UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad. – UMNO-Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.