Kaduk Naik Junjung, Cacing Naik Ke Mata… Inilah Yang Telah Dap Lakukan – Dr Khir


KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Sejarah baharu tercatat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor baru-baru ini, manifestasi dari Malaysia baharu acuan Pakatan Harapan, kata Bekas Menteri Besar (MB) Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.

Dr Khir dalam satu hantaran di Facebook, melihat Speaker Dewan memendekkan tempoh masa perbahasan tanpa berbincang dengan kerajaan negeri dengan alasan tersirat untuk menghalang Exco Agama Islam iaitu Datuk MB sendiri membentangkan satu rang undang-undang (pindaan) kemasukan agama Islam.

“Usul pindaan ini adalah untuk mengemaskini proses pemelukan seseorang ke agama Islam, maksudnya ia hanya melibatkan individu beragama Islam sahaja.

“Tindakan speaker dari Dap menghalang MB membawa usul tersebut adalah amat menjijikkan lebih-lebih lagi melakukannya melalui pintu belakang.

“Tindakan Dap yang sangat pengecut ini menunjukkan betapa mereka ingin sangat mencampuri urusan umat Islam di negara kita,” bidasnya.

Justeru tegas Dr Khir, setiap tindakan itu ada tindak balas dan semua perkara ada batasnya.

“Bagi saya Speaker DUN Selangor ini tidak boleh dibiar tanpa tindakan sewajarnya mesti diambil tindakan tegas ke atasnya.

“MB mesti bertindak, jangan biarkan sikap kurang ajar ini berlarutan. Ia akan merosakkan sistem demokrasi dan pembahagian kuasa antara Speaker dan kuasa eksekutif institusi MB.

“Kaduk naik junjung, cacing naik ke mata, inilah yang telah Dap lakukan,” katanya.

Jelas Dr Khir lagi, agama Islam adalah di bawah bidang kuasa Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan.

“Menghalang usul ini boleh dianggap menafikan kuasa yang diletak di bawah kuasa Sultan dan ia boleh ditakrif Dap cuba menidakkan kuasa Sultan dan merupakan satu bentuk penderhakaan.

“Jangan melampau, sabar kami ada batasnya. Jangan cuba berenang di lautan api, padahnya tak terperi!,” tegasnya sekali lagi. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.