Isu Lynas: Fuziah, Heroin Alam Sekitar PH Masih Berpusing-pusing… – Dr Wee


KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menyindir Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh yang digelarnya heroin alam sekitar Pakatan Harapan (PH) setelah sekian lama menyepi, kini baru muncul untuk menyentuh tentang isu Lynas sebagaimana yang dilaporkan di sebuah portal.

“Ingatkan dia nak menangis buat kali kedua seperti dalam video ini (pautan).

“Tapi tidak. Sebaliknya dia berpusing-pusing menjawabnya.

“Seperti biasa, kenyataan beliau ini lebih kepada menuding jari. Siapa lagi yang akan dipersalahkan jika bukan Barisan Nasional (BN),” tegas Dr Wee dalam satu hantaran di Facebook.

Bidas Dr Wee lagi, selain menyalahkan kerajaan terdahulu walaupun PH lebih setahun berkuasa, Fuziah turut menyalahkan rakan sendiri di dalam PH.

“Sedangkan Pakatan Harapan sudah mentadbir negara lebih daripada setahun! Apa guna menjadi kerajaan?

“Lebih melucukan, Fuziah yang juga seorang Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen Kuantan ini turut menghentam rakan PH. Mungkin dia nak menyelamatkan diri sendiri.

“Jelas menunjukkan kepada kita, kerajaan PH hari ini masih belum bersepakat antara satu sama lain,” tegas Ahli Parlimen Ayer Hitam itu lagi.

Mengulas perkara yang sama juga, Dr Wee menggesa Fuziah menasihati Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang dahulunya juga paling kuat menentang projek Lynas.

“Daripada Fuziah berpusing-pusing menjawab isu ini, apa kata beliau meminta Menteri Kewangan, Lim Guan Eng supaya memohon maaf kepada rakyat Malaysia atau menarik semula kata-katanya seperti di dalam video ini (pautan).

“Jika tidak, sia-sia saja Fuziah menulis panjang lebar,” sinisnya.

Dalam status sebelum di media sosialnya itu, Dr Wee turut mempersoalkan mengapa kerajaan PH masih membisu mengenai pembayaran RM175 juta Lynas Corporation kepada kerajaan.

“Sehingga kini, kerajaan PH masih membisu tentang pembayaran ini.

“Adakah ianya benar bahawa kerajaan telah menerima bayaran ini dan apakah tujuan untuk pembayaran tersebut? Soalnya.

Minggu lepas, pengurus urusan Lynas Corporation telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka telah membayar deposit sebanyak AS$42.2 juta (RM175 juta) kepada kerajaan. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.