Abaikan Bahasa Melayu Sebab Terlalu Banyak Perkataan, Jadi Tidak Menarik… Alasan Tidak Boleh Diterima!


IPOH, 4 Ogos – Exco Pelancongan Perak, Tan Kar Hing berkata poster kempen pelancongan sengaja tidak diletak bahasa Melayu kerana terlalu banyak perkataan dan ianya tidak kelihatan menarik adalah satu alasan yang tidak boleh diterima, bidas Ketua Penerangan UMNO Negeri Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun.

Jelasnya, Jumaat lepas, Kar Hing telah melancarkan poster kempen menarik pelancong luar dari Asia Timur seperti China, Taiwan, Jepun dan Korea.

“Yang peliknya poster tersebut hanya menggunakan tulisan bahasa Cina semata-mata. Bagaimana dengan bahasa Korea dan Jepun?

“Apa salahnya jika bahasa Melayu juga ditulis dalam poster tersebut sebagai melambangkan bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara,” tegasnya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Zolkafly turut memberi perumpamaan poster bola sepak piala dunia Fifa di mana badan antarabangsa itu akan menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa rasmi negara yang menjadi penganjur tetapi ia tidak dijadikan panduan bagi kerajaan Pakatan Harapan (PH) Perak.

“Di dalam poster pelancongan Perak di mana bahasa Inggeris dan bahasa Melayu?

“Mudah sahaja, jangan tulis dalam bahasa Cina, sebagai duta pelancongan Wong mampu untuk menterjemahkan bahasa Melayu ke bahasa Cina dalam lawatan mempromosikan negeri Perak.,” tegasnya.

Wong yang menjadi duta pelancongan tersebut merupakan anak kelahiran Ipoh yang akan memulakan lawatan kerjanya bermula bulan ini hingga akhir Julai 2021.

Zolkafly turut merujuk kepada dua poster yang berlatar belakang hutan bakau dan sebuah lagi berlatar belakang Taman Rekreasi Gunung Lang, tertulis ‘Perak Where Stories Begin’ tetapi langsung tiada ayat lazim ‘Visit Malaysia truly Asia’.

“Kedua-dua poster tersebut jelas menunjukkan kerajaan Perak sengaja mengabaikan kepelbagaian budaya dan etnik dengan memberi tumpuan kepada kaum Cina sahaja.

“Ayat ‘Perak Where Stories Begin’ seolah-olah ingin menceritakan kisah penghijrahan dan kejayaan kaum Cina dan parti Dap di Perak yang berjaya memerintah negeri buat kali kedua.

“Hari ini rata-rata netizen terutama rakyat Perak telah melahirkan rasa tidak senang dengan tindakan kerajaan negeri Perak yang sengaja mengabaikan bahasa kebangsaan,” katanya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang itu lagi.

Justeru itu tegasnya, UMNO Perak menggesa kerajaan PH Perak agar segera mengkaji dan membetulkan kesilapan mereka dengan poster baharu bagi menggambarkan masyarakat majmuk dan kepelbagaian etnik serta budaya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.