Dah 14 Bulan Jadi Kerajaan Tapi PH Masih Terkial-kial, Tak Mampu Buat Strategi Kembangkan Ekonomi

KUALA LUMPUR, 1 Ogos – “Yang duduk jawatan-jawatan menteri di Malaysia pun orang politik, tapi masih tak mampu buat strategi untuk kembangkan ekonomi sedangkan dah lebih 14 bulan, namun masih lagi kerajaan Pakatan Harapan (PH) terkial-kial,” bidas Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Katanya, yang menanggung beban ekonomi tak berkembang hari ini adalah rakyat, terutama yang di peringkat strata ekonomi bawahan.

“Kalaupun dasar ekonomi negara nak ditukar kepada ‘shared prosperity’ atau kemewahan yang dikongsi bersama, mahupun nak kononnya beralih sepenuhnya kepada ‘needs based policies’ dan tidak lagi ‘affirmative action’ seperti DEB, ekonomi negara mestilah dulu dikembangkan!

“Kalau ekonomi negara tidak berkembang, tak ada kemewahan tambahan yang boleh dikongsi bersama. Sama juga dengan dasar yang menegaskan kepada ‘needs’ atau keperluan, ekonomi negara mestilah dikembangkan.

“Pendek kata, kalau ekonomi negara bertumbuh dengan baik, apa sahaja dasar dan strategi boleh dirangka ikut selera masing-masing,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya.

Katanya, beliau ada terbaca laporan mengenai ekonomi Hong Kong berkaitan perniagaan dikatakan telah menguncup berbanding dengan tempoh yang sama tahun 2018 iaitu pada Jun 2019 berbanding Jun 2018, perniagaan Hong Kong kuncup 30% dan bagi Julai 2019, dijangka 40%.

“Bukan kerana Lim Guan Eng! Dia tu di negara kita, tapi ada kaitannya. Perniagaan menguncup di Hong Kong kerana politik, iaitu apa yang media barat panggil sebagai ‘pro-democracy demonstrations’ atau demonstrasi pro-demokrasi.

“Politiklah itu, dan akibatnya ialah tergoncang kuat jugalah keyakinan ekonomi di Hong Kong. Bila politik goncang, goncang jugalah ekonomi.”

Tegas beliau, di Malaysia tak ada pula demonstrasi pro-demokrasi sebesar mana dan berulang kali macam di Hong Kong namun adalah juga disebut-sebutkan oleh menteri mengenai ‘deep state’ dan pengisytiharan perang terhadap orang bukan-Islam.

“Tapi itu semua cakap politik yang tak bawa kepada keyakinan politik. Maknanya politik goncang juga dan kesannya kepada ekonomi negara.”

“Dari perbualan saya dengan ahli-ahli perniagaan, mereka tertanya-tanya terhadap peralihan kuasa dari Tun Mahathir ke Anwar Ibrahim. Jadi ke? Tak jadi ke? Kalau jadi, bila? Kalau jadi, siapa TPM? Takkan Wan Azizah!

“Dan peristiwa video Sandakan – dari cakap awal Tun Mahathir kepada cakap IGP yang akhirnya berubah pula – lagi ahli-ahli perniagaan rasa keliru.”

Ini kerana katanya, ramai yang berniaga sememangnya keliru dengan politik hari ini dan juga politik dalaman PH.

“Rata-rata di JB, mereka berkata business dah down 30%. Dan nampak macam berterusan… Jadi bila saya guna rangkap kata ‘It is the economy, stupid!’, kena juga kita sedar, yang asal cakap tu adalah orang politik ketika bertanding jawatan presiden Amerika Syarikat,” katanya lagi yang juga mantan Pengerusi Felda. – MediaUMNO