Kerajaan PH Buli Rakyat Sabah, Sarawak – Zahid

KENINGAU, 30 Julai – Pentadbiran PH di Putrajaya dilihat membuli rakyat Sabah dan Sarawak apabila kepentingan janji manifesto kepada mereka tidak ditunaikan selepas menjadi kerajaan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mempersoalkan, selepas setahun memerintah, apa sudah jadi kepada janji PH memberi royalti minyak kepada kerajaan Sabah dan Sarawak, begitu juga menunaikan janji Perjanjian MA63.

“Mana semua janji-janji ini sekarang? Di pihak BN, kita sudah membuat satu manifesto yang mengambil kira banyak kepentingan dan kebajikan rakyat Sabah, Sarawak. Tapi atas kuasa takdir, BN tidak dapat menjadi kerajaan, namun selepas ini jika kita diberi peluang menjadi kerajaan, kita akan menyemak semula janji kita (dalam manifesto baru) supaya lebih banyak hak rakyat dapat dijaga,” katanya.

Dr Zahid berkata demikian semasa berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Zon 4 (Keningau, Tenom, Ranau, Pensiangan) di sini hari ini.

Katanya, untuk persiapan PRU-15, BN akan menambah baik manifestonya supaya ia boleh membawa lebih banyak kebaikan kepada rakyat.

Beliau juga berkata, Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada dasarnya meluluskan permohonan UMNO Sabah memohon kuasa autonomi bagi membolehkan mereka mentadbir pengurusan negeri lebih dinamik tetapi butirannya akan diperhalusi sebelum PAU.

Katanya langkah itu memaparkan bukti UMNO Pusat sentiasa mendengar permintaan akar umbi dan menunaikannya demi kepentingan parti.

Dr Zahid juga mahu ahli UMNO mengambil pengajaran kepada kebangkitan semula LDP di Jepun dan Parti Koumintang di Taiwan untuk kembali menjadi kerajaan.

“Formula kejayaan itu kerana mereka bersatu dan mengumpulkan sumber serta tenaga untuk membina kekuatan semula parti di setiap peringkat.

“Ada parti lain di dunia yang selepas kalah tidak mampu kembali sebagai kerajaan sebab mereka berpecah”, katanya.

Beliau turut melahirkan rasa kagum terhadap roh dan semangat perjuangan luar biasa UMNO Sabah walaupun sebelum ini terdapat pemimpin yang bertindak melompat dan keluar parti.

“Ternyata apa yang berlaku tidak melumpuhkan apatah lagi melemahkan UMNO Sabah sebaliknya seperti apa yang dibuktikan hari ini UMNO Sabah terus utuh dan bersemangat.

“Kita yakin UMNO akan terus bangkit bukan sahaja di Sabah malah di seluruh negara dan bersedia untuk berdepan cabaran PRU 15”, katanya. -MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.