Agenda Penyatuan Ummah Untuk Semua, Alternatif Baharu Untuk Rakyat – Ahmad Zahid

PARIT BUNTAR, 28 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata agenda penyatuan ummah adalah alternatif baharu untuk rakyat yang hari ini amat kecewa terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menurut beliau agenda berkenaan bukannya tertumpu kepada Islam dan Melayu semata-mata kerana ianya juga bakal mengambil kira terhadap agenda bangsa serta agama lain dan turut memberi keutamaan kepada rakan-rakan daripada pelbagai kaum terutama pribumi Sarawak serta Sabah.

“Hasrat penyatuan ummah yang dilakukan oleh UMNO dan PAS serta didokong Barisan Nasional (BN) serta parti-parti gabungan yang lain tentunya merupakan satu alternatif baru terhadap rasa kekecewaan rakyat dengan apa yang sedang berlaku sekarang ini di bawah Pakatan Harapan.

“Dan kita ingin memberitahu kepada PH bahawa mereka harus sedar bahawa rakyat tidak mahukan mereka lagi. Tambahan pula Melayu dan Islam lebih meluat lagi kerana mereka terus bersekongkol dengan Dap,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu sebelum itu beliau merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Parit Buntar, di sini, hari ini.

Turut serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad, Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria serta pimpinan UMNO setempat dan yang lain.

Tambah Ahmad Zahid, rakyat daripada pelbagai kumpulan tidak dapat menerima apa yang dilakukan oleh barisan menteri PH terutama menteri kewangan.

“Komuniti perniagaan di kalangan orang Cina dan India serta lain-lain kaum juga berasa keresahan terhadap peraturan yang dilakukan di dalam bidang perniagaan. Dasar-dasar yang ‘flip-flop’ telah menyukarkan semua pihak.

“Begitu juga kumpulan sasaran yang dulunya mendapat bantuan telah tidak dapat bantuan kononnya tidak ada wang yang cukup, kononnya wang dirompak namun jelas bahawa wang tidak dirompak,” ujarnya.

Tegas Ahmad Zahid lagi, begitu juga dengan kenyataan mengapa dahulu mengatakan Malaysia tidak perlu berhutang dengan banyak tetapi hutang negara kini semakin bertambah disebabkan mereka.

“Dulu hutang sebenarnya RM686 bilion kini telah meningkat lebih RM800 bilion. Jika mereka mahu membantu rakyat dan mengotakan apa mereka lakukan tentunya hutang seharusnya dikurangkan tetapi apa yang berlaku lebih setahun ini mereka menambahkan hutang,” tambahnya.

Sementara itu dalam ucapan perasmiannya, Ahmad Zahid menyifatkan hubungan antara UMNO dan PAS hari ini bertambah erat dan banyak ujian serta cubaan yang akan menanti.

“Saya hampir pasti akan ada ujian yang akan sampai..ujian yang mendatang yang akan menggunakan pendekatan pecah dan perintah. Mereka akan pecahkan UMNO dan PAS. Dalam keadaan itu akan ada usaha supaya UMNO tidak akan percaya kepada PAS dan PAS pula tidak percaya kepada UMNO.

“Kita berwaspadalah…Insya Allah apabila kita lakukan ini dengan niat yang baik dan kita lakukan kerana Allah S.W.T. Allah S.W.T. akan membantu kita. Saya ingin memberitahu diri saya sendiri dan semua …supaya terjemahan kerjasama ini akan dapat dilakukan, insya Allah,” ujarnya.- MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.