“Jika Fakta, Huraian Atau Data Saya Salah Atau Fitnah… Sila Sangkal Dan Saman Fitnah. Apa Susahnya?” – Najib

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Bekas Perdana Menteri berkata isu kerajaan Pakatan Harapan (PH) mahu menyekat beliau dari memuat naik status atau kenyataan di media sosial bukan kali pertama berlaku.

Dalam satu hantaran di Facebook, Najib berkata ramai yang mungkin tidak tahu bahawa kerajaan PH pernah meminta hakim pada tahun lepas untuk mengenakan dua syarat sebelum mereka membenarkannya dibebaskan dengan ikat jamin.

“Syarat-syaratnya ialah, saya tidak boleh menganjur atau menghadir diri di sebarang acara awam kecuali acara agama, walaupun saya ahli parlimen pembangkang yang perlu menjalankan tugas saya.

“Saya tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan atau menggunakan media sosial – termasuk Facebook dan Twitter. Bahaya sangat ke, saya main Facebook? Mengancam sangat ke saya hadir acara awam?

“Alhamdulillah, tuan hakim telah menolak syarat-syarat kerajaan PH masa itu dan saya masih boleh menjelaskan dan menyangkal fitnah-fitnah PH terhadap saya dan kerajaan BN (Barisan Nasional) dahulu melalui media sosial,” jelasnya lagi.

Mengulas lanjut, Najib yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat BN mencabar PH menyamannya jika segala fakta dan data yang dikemukakan salah atau berupa fitnah.

“Jika fakta, huraian atau data saya salah atau fitnah, sila sangkal dan saman fitnah sahaja.
Apa susahnya?

“Saya tak sama dengan PH sebelum PRU14 (Pilihan Raya Umum Ke-14). Saya tak fitnah dan tak caci maki.

“Saya tak ajak rakyat untuk merusuh atau turun ke jalan raya untuk berguling-guling seperti PH dahulu. Kenapa PH perlu main sekat-sekat dan halang-halang saya pulak?” soalnya. – MEDIA UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.