95% Setuju Politik Malaysia Amat Tidak Stabil

KUALA LUMPUR 27 Julai – Boleh dikatakan majoriti warga maya bersetuju bahawa situasi politik di Malaysia kini berada dalam keadaan ‘amat tidak stabil’ genap selepas 444 hari Pakatan Harapan (PH) memerintah.

Hal itu dapat dibuktikan menerusi hasil undian Facebook Utusan Online yang mendapati 95 peratus daripada kira-kira 9,000 warga maya terlibat bersetuju ten tang ketidakstabilan berlaku.

Undian itu diadakan untuk tempoh seminggu sejak 19 Julai lalu dan berakhir semalam.

Ia dibuat susulan kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan iaitu sejak memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), PH dirundum pelbagai masalah dalaman parti.

Katanya, hal itu jelas dilihat dan diperhatikan rakyat melalui maklumat-maklumat di dalam akhbar, media massa, media sosial serta semua saluran berita.

Ramai pengguna laman sosial Facebook meluahkan perasaan masing-masing dalam status undian tersebut dengan rata-rata menyalahkan perebutan kuasa sesama pemimpin PH menjadi punca keadaan tidak stabil.

Akaun bernama No Sega menganggap ketidakstabilan berlaku kerana semua sibuk dengan perebutan kuasa sehingga tiada tumpuan kepada hal-hal ekonomi dan negara.

Helmy Alias pula berkata bagaimana keadaan hendak stabil disebabkan kebanyakan jawatan penting dipegang oleh bukan kaum majoriti.

“Negara majoriti Muslim, tetapi ahli Parlimen kerajaan, kewangan, undang-undang, media, peguam negara bukan Muslim. Muslim rasa tenang?” soalnya.

Pemilik akaun bernama Zulkiflee Salim pula merasakan pembubaran Parlimen adalah langkah terbaik untuk memastikan kerajaan baharu dapat dibentuk agar lebih stabil.

Hamzah Othman pula merasakan oleh kerana pengganti Perdana Menteri belum pasti sekali gus akan membuatkan Tun Dr. Mahathir Mohamad lebih lama ‘bertaktha’.

Ketidakstabilan berlaku dicerminkan dengan pelbagai isu yang timbul termasuklah hak dan kepentingan orang Melayu dicabar, institusi diraja bebas diperlekehkan serta kenyataan dan tindakan segelintir penyokong PH yang tidak digemari rakyat.

Selain itu ialah kegagalan PH menunaikan manifesto pilihan raya, tekanan supaya Dr. Mahathir digantikan secepat mungkin serta pergolakan dalaman PH terutamanya pergeseran Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan timbalannnya, Datuk Seri Mohamaed Azmin Ali yang boleh menentukan siapa bakal Perdana Menteri.- UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.