Penyatuan Ummah Pasti Membawa Berkat


KUALA LUMPUR, 26 Julai – Pemimpin UMNO dan PAS wajib meneruskan usaha baik agenda penyatuan ummah bagi merealisasikan impian membentuk pemerintahan Islam tanpa mengabaikan kepentingan kaum lain di Malaysia, kata Exco Pemuda UMNO Malaysia, Fairuz Jamaluddin.

Tegasnya, negara sudah serik dengan pelbagai angin politik yang dibawa oleh golongan-golongan yang bertentangan dengan perjuangan asal di mana Malaysia perlukan suasana hidup harmoni dengan semua kaum.

“Ta’awun Siyasi (kerjasama politik) ini adalah medan permulaan kesatuan umat Islam kepada negara Islam. Gabungan UMNO dan PAS ini pasti akan menjadikan jumlah ahli Parlimen yang beragama Islam bertambah demi agama, bangsa dan tanah air.

“Teruskan penyatuan ummah untuk membawa keberkatan kepada semua ahli serta umat Islam yang lain. Janganlah wujud lagi perbincangan pintu belakang dengan mana-mana blok kerajaan atau Pakatan Harapan (PH) bagi mendapatkan kepentingan,” ujarnya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Jelas Fairuz lagi, semua ahli serta akar umbi percaya bahawa tindakan yang dilakukan oleh kepimpinan UMNO ini adalah langkah yang terbaik untuk parti di mana sokongan tanpa berbelah bahagi dari ahli UMNO serta PAS demi meneruskan peristiwa bersejarah dalam dunia politik Malaysia.

“UMNO dan PAS telah mencapai satu kata sepakat untuk ta’awun antara satu lain adalah untuk mengharungi arus cabaran keadaan politik di Tanahair.

“Kerjasama kedua-dua parti adalah satu langkah positif kepada umat Islam dan bangsa Melayu.

“Walaupun sudah lama bermusuhan dalam politik akhirnya UMNO dan PAS mendapat kata sepakat untuk bersatu demi sebuah perjuangan. Inilah kuasa ALLAH SWT yang tiada siapa tahu hasil dari kekalahan pilihan raya umum (PRU) lalu membawa kepada keberkataan kedua parti keramat ini,” tambahnya.

Fairuz yang juga Pengerusi Sekretariat Tunas Muda turut menitipkan firman Allah SWT dari Surah al-Ankabut ayat 2 hingga 3 yang bermaksud:

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: ‘Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya, Kami menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya orang yang berdusta.”MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.