Kereta Baharu Exco: Bentangkan Butiran Perbandingan

KUALA LUMPUR 26 Julai – Kerajaan negeri Perak perlu membentangkan butiran perbandingan yang mampu menunjukkan bahawa kereta Toyota Camry adalah lebih baik berbanding Proton dari pelbagai aspek termasuk penjimatan dan keselamatan sehingga ia dipilih sebagai kereta rasmi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak.

Ketua Wanita UMNO Perak, Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin menegaskan, walau apa juga alasan diberikan, sewajarnya kerajaan negeri memberi sokongan kepada kereta keluaran tempatan apatah lagi Proton mempunyai kilang di Tanjung Malim yang sudah tentu menawarkan banyak peluang termasuk pekerjaan kepada masyarakat
tempatan.

“Menjimatkan dan sebagainya bukanlah satu justifikasi yang kukuh untuk kita menukar kereta tersebut yang paling utama kita sebagai warganegara mestilah menyokong hasil daripada negara ini, kalau kita tak percayakan Proton, siapa lagi?

“Jawapan bahawa Toyota Camry lebih menjimatkan atau baik daripada aspek keselamatan berbanding Proton adalah tidak profesional, jika betul alasan itu mahu digunakan, tolong bentangkan butiran penjimatan tersebut,” katanya.


Semalam dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Negeri, Asmuni Awi menjelaskan, pembelian 16 kereta Toyota Camry yang dijadikan kenderaan rasmi Exco Perak berikutan penjimatan diperoleh kerajaan selain melihat
aspek lain seperti keselamatan dan kos secara perbandingan dengan kereta jenama lain.

Pembelian kenderaan tersebut dipersoalkan Ahmad Saidi Mohamad Daud (BN-Changkat Jering) yang mempertikaikan keputusan tersebut sedangkan negara mempunyai kereta keluaran tempatan.

Asmuni kemudiannya berkata, taraf kereta keluaran Proton juga sama dengan kereta Toyota Camry apabila ia bukan lagi berstatus kereta nasional.

Sementara itu, Norashikin yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Gajah menjelaskan, kenyataan Asmuni yang tidak mengiktiraf Proton sebagai kereta nasional adalah sesuatu yang tidak sewajarnya lebih-lebih lagi kereta tersebut merupakan kereta kebanggaan rakyat Malaysia selama ini.

“Takkan beliau tidak tahu, Proton itu sendiri membawa imej Malaysia sejak sekian lama, Proton juga ada kilang di Tanjung Malim yang telah mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan malah sebenarnya bukan hanya di Tanjong Malim tetapi di seluruh negara.

“Saya menyelar kenyataan Asmuni itu, memang tidak patut seorang Exco negeri berkata Proton adalah milik China dan seolah-olah menghalalkan niat mereka untuk menukar kenderaan daripada Proton kepada Toyota Camry, saya hairan Kerajaan Negeri Perak sendiri tidak menyokong industri Proton ini,” katanya.- UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.