Pastikan Tiada Campur Tangan Dalam Keputusan Inkues Kematian Adib

JELEBU 24 Julai – Keputusan dan penghakiman inkues bagi menentukan punca kematian ahli bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim yang prosidingnya ditutup di Mahkamah Koroner hari ini, mesti dibuat tanpa campur tangan mana-mana pihak.

Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias berkata, sebelum ini wujud persoalan campur tangan peguam Negara, Tommy Thomas yang mengarahkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menamatkan khidmat peguam pemerhati mereka, Syazlin Mansor pada saat-saat akhir.

Ujarnya, alasan diberi Tommy adalah konflik kepentingan kerana suami peguam itu adalah Setiausaha Akhbar Menteri KPKT, namun persoalannya kenapa ia dibangkitkan selepas sebulan prosiding berlangsung.

“Perkara ini menjadi kebimbangan masyarakat yang khuatir ada usaha untuk menafikan kebenaran terhadap apa yang berlaku kepada Muhammad Adib.

“Semua pihak dalam inkues wajar membantu Hakim Mahkamah Sesyen membuat keputusan yang tepat menentukan punca kematiannya. Keadilan buat Adib bukan saja bermakna buat keluarganya tetapi seluruh rakyat Malaysia yang menghargai pengorbanan penjawat awam itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mahkamah Koroner di Shah Alam, Selangor hari ini memutuskan untuk menutup prosiding inkues bagi menentukan kematian Muhammad Adib yang terkorban sewaktu bertugas dalam rusuhan Kuil Maha Mariamman, Seafield di Subang Jaya pada 27 November 2018.

Tarikh bagi keputusan inkues berkenaan akan ditetapkan kemudian oleh mahkamah tersebut.

Prosiding inkues yang bermula pada 11 Februari lalu telah berlangsung selama 41 hari dan memanggil seramai 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar.

Jalaluddin yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, beliau percaya institusi kehakiman adalah bebas serta dihormati dan akan membuat keputusan yang tepat dan benar mengenai punca kematian itu.

“Kita akan terus komited dan konsisten memperjuangkan keadilan bagi mendapatkan kebenaran mengenai apa yang berlaku kepada anggota bomba tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.