Isu Warganegara Bukan Dengan Cara Pintu Belakang – Dr Asyraf Wajdi


KUALA LUMPUR, 23 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia melahirkan rasa kerisauan dan kebimbangan dengan laporan ‘pertemuan tertutup’ enam pemimpin Dap dengan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bagi membincangkan isu-isu kewarganegaraan di pejabat Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam.

Dilaporkan, enam pemimpin Dap ini adalah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Hannah Yeoh; Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching;Ahli Parlimen Beruas, Dato’ Ngeh Koo Ham, dan Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau Kiong Yieng.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ironinya, pemimpin tertinggi Dap, Lim Guan Eng, turut sama dalam pertemuan tersebut sehingga meninggalkan tugas lebih penting sebagai Menteri Kewangan.

“Walhal pertemuan tersebut membabitkan sekumpulan individu tertentu dan melibatkan bidang kuasa Menteri Dalam Negeri

“Semakin merisaukan kerana berdasarkan pemerhatian soalan-soalan membabitkan isu-isu kewarganegaraan dikemukakan oleh Ahli-Ahli Parlimen Dap dalam Parlimen yang rata-ratanya menyuarakan kehendak supaya pemberian kewarganegaraan dipermudahkan untuk golongan-golongan tertentu,” tegasnya dalam kenyataan media hari ini.

Justeru, katanya, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dengan ini setegas-tegasnya:

(a) Mendesak Menteri Dalam Negeri supaya mendedahkan perkara-perkara yang diperbincangkan dan dipersetujukan dalam pertemuan ini memandangkan seorang pemimpin Dap mendakwa bahawa pertemuan itu membuahkan hasil.

(c) Mendesak Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia supaya tidak bertolak-ansur dalam isu-isu kewarganegaraan ini kerana ia adalah sebahagian daripada kontrak sosial waktu merdeka dan perlembagaan wajib dipatuhi sepenuhnya

(c) Mengecam sekeras-kerasnya pemimpin Dap kerana menggunakan saluran belakang bagi menyelesaikan isu-isu kewarganegaraan ini pada ketika ia sepatutnya dibincangkan secara terbuka dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan, mesyuarat Kabinet Kerajaan dan sidang Parlimen yang menunjukkan seperti ada agenda tersembunyi! – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.