Agenda Kewarganegaraan Terlalu Sulit, Hanya Libatkan Pemimpin Dap Sahaja?

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Pemerhari Politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff menimbulkan persoalan apakah tujuan sebenar hanya menteri dari Dap sahaja bertemu secara tertutup dengan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membincangkan isu kewarganegaraan.

Dalam satu hantaran di Facebook, Dr Kamarul turut musykil apakah terlalu sulit isu yang mereka bawa sehingga tidak dinyatakan secara terbuka di Dewan Rakyat.

“Sulit sangatkah isu-isu kewarganegaraan ini sehingga perkara ini tidak boleh ditanyakan secara terbuka di Dewan Rakyat dan perlu dibincangkan secara tertutup dengan Menteri Dalam Negeri?

“Eksklusif sangatkah isu-isu kewarganegaraan ini sehingga pemimpin parti-parti komponen lain Pakatan Harapan tidak dilibatkan dalam perkara ini dan hanya pemimpin Dap yang dilibatkan?” soalnya.

Dr Kamarul mengulas mengenai gambar yang dipaparkan oleh Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau Kiong Yieng di Facebook mengenai pertemuannya bersama beberapa menteri dan timbalan menteri Dap dengan Muhyiddin bagi membincangkan isu-isu kewarganegaraan.

Dr Kamarul juga menimbulkan persoalan apakah kaitan isu-isu kewarganegaraan dengan tugas hakiki Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Hannah Yeoh, dan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

“Besar sangatkah isu-isu kewarganegaraan ini sehingga memerlukan dua menteri Dap dan dua timbalan menteri Dap meninggalkan tugas rasmi masing-masing semata-mata untuk turut sama membincangkannya?” soalnya lagi.

Mengulas lanjut, Dr Kamarul berkata beliau masih ingat lagi betapa pada 9 Julai lalu Muhyiddin memberikan jawapan tegas kepada soalan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham, yang memohon supaya dimudahkan pemberian kewarganegaraan.

“Dan semoga beliau (Muhyiddin) terus bertegas,” ujarnya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.