Perlantikan YB Wong Kah Wah: Agenda Rakus Dap Kuasai Harta Negara
KUALA LUMPUR, 22 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia memandang serius tindakan Menteri MESTECC YB Yeo Bee Yin untuk melantik YB Wong Kah Woh (Dap – Ipoh Timur) sebagai Pengerusi Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA).
Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa keputusan ini secara jelasnya menyerlahkan lagi kerakusan Dap untuk menguasai pelbagai sektor ekonomi negara.
“Perlantikan pemimpin Dap bagi menerajui agensi kerajaan yang penting ini bukan sahaja menimbulkan pertikaian dari segi ketelusan dan tadbir urus yang baik (good governance), bahkan satu lagi pencabulan kepada manifesto Pakatan Harapan (PH) berkaitan dengan perlantikan politik dalam sektor kerajaan dan GLC,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Soal beliau, apakah sudah tiada lagi tokoh-tokoh di kalangan pakar, jurutera profesional dan ahli korporat yang mandiri untuk menggalas jawatan Pengerusi SEDA sehingga YB Yeo Bee Yin terpaksa melantik kroni parti?
“Justeru Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak agar YB Yeo Bee Yin tampil memberikan penjelasan kerana bukan sahaja membelakangi janji manifesto PH bahkan wujud konflik berkepentingan yang boleh dikaitkan dengan pelantikan ini.”
Maklum beliau, SEDA adalah agensi yang ditubuhkan di era Barisan Nasional (BN) untuk memacu pertumbuhan dan pembangunan industri ‘Tenaga Diperbaharui’ (Renewable Energy) negara.
“Sejak tahun 2012 sehingga 2017, SEDA bertanggungjawab kepada pengagihan kuota penjanaan tenaga elektrik melalui Fotovolta Solar, Biomas, Biogas, Hidrokuasa Kecil dan Geoterma berjumlah 3,086.45 GWj.”
Ujarnya, pada penghujung Disember lalu, YB Menteri MESTECC telah mengumumkan projek pembangunan tenaga solar berskala besar (Large Scale Solar Power Project) bernilai RM2.0 bilion.
“Persoalannya apakah pelantikan YB Wong Kah Woh sebagai Pengerusi SEDA ini berkait rapat dengan projek berbilion ringgit yang baru diumumkan ini kerana agihan kuota penjanaan bagi projek ini akan diselia oleh SEDA?” bidas beliau lagi. – MediaUMNO