PH… Tak Mampu Tunai Janji, Hormatilah ‘Rule Of Law’ – Dr Baharom

SEGAMAT, 21 Julai – Ketua UMNO Bahagian Sekijang, Datuk Dr Baharom Mohamed membidas kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang bukan sahaja gagal menunaikan janji-janji manifesto malah tidak mahu menghormati kedaulatan undang-undang.

Walhal tegasnya, dalam manifesto ketika pilihan raya umum (PRU) lalu mereka sering mendabik dada kononnya akan tetap mendukung ‘Rule of Law’ sekiraya diberi peluang memegang tampuk pemerintahan negara.

“’Rule of Law’ atau kedaulatan undang-undang sebelum PRU13, 14 dalam manifesto mereka kata akan pakai ‘Rule of Law’ yang ada dalam negara ini tetapi apa yang berlaku?

“Tidak mengikut ‘Rule of Law’ dalam Dewan Rakyat baru-baru ini dah tentu cakap bohong, dicatit dalam hansard (isu wang tuntutan Cukai Barangan dan Perkhidmatan, GST), bila buat usul untuk ahli yang menyatakan pembohongan itu, speaker pun boleh pusing tiada apa yang hendak dibincangkan. Itu dalam dewan.

“Luar dewan? Semua di pihak kerajaan yang ada tindakan undang-undang, yang akan dibuat tindakan semuanya dilepaskan. Malah yang ada dalam perbicaraan pun dilepaskan dilantik menjadi menteri kanan. Apa nak jadi dalam negara kita ini? Kurang-kurang pun hormatlah dengan undang-undang, habiskanlah bicara… bicara tak habis lagi, berhenti. Orang yang duduk dalam penjara boleh keluar boleh bertanding lagi nak jadi perdana menteri,” katanya lagi dalam ucapan aluan di majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sekijang di sini petang semalam.

Mesyuarat tersebut dirasmikan oleh Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Labis, Azhar Ibrahim juga selaku wakil Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Ketua UMNO Bahagian Segamat, Datuk Zahari Sarip, kepimpinan parti-parti komponen BN dari MCA dan MIC serta MyPPP dan PAS Kawasan Sekijang.

Mengulas lebih lanjut, Dr Baharom menyatakan kerisauan kerana negara semakin huru-hara di bawah PH dan secara langsung memberi kesan yang amat besar kepada kemajuan ekonomi negara.

“Negara sekarang huru-hara dan keadaan ekonomi yang ada dulu bursa saham tinggi dan pelabur-pelabur datang hari ini telah jatuh. kadar Keluaran Negara Dalam Kasar (KDNK) tinggi 5 peratus ke atas (dulu) sekarang kadarnya tinggal 4 peratus dan mungkin akan turun lagi.

“Yang tak tahan, harga sawit harga getah jatuh menjunam. Pelabur-pelabur semuanya lari tak caya pada kerajaan yang ada pada hari ini. Ini yang menyebabkan rakyat rasa gelisah apa yang PH janjikan tiada satu pun ditunaikan.

“GST digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), apa yang berlaku? Kata SST boleh menurunkan harga barang tapi menaikkan lagi harga barang. Malah ditambah lagi dengan cukai gula, cukai luar negeri termasuk nak pergi haji,” bidasnya lagi.

Berhubung dengan aktiviti penjualan aset-aset kerajaan, Dr Baharom menempelak PH.

“Saya difahamkan telah hampir RM20 bilion aset yang dijual. Saya merasakan jika kita merampas kembali kerajaan, kita hendak bina balik mungkin makan masa agak lama.

“Kerana apa? Bila dah jatuh nak bangkit semula ekonomi pasti akan bermasalah apatah lagi mereka ini (PH) didalangi oleh pihak-pihak tertentu dari luar negara yang bersubahat untuk menjatuhkan negara kita,” katanya.

Berhubung dengan agenda penyatuan ummah, jelasnya lagi UMNO telah membuat kolaborasi atau ta’awun siyasi bersama-sama dengan PAS bagi sama-sama menghadapi PRU akan datang.

“Beberapa sesi telah kita buat bersama dengan PAS… ceramah bersama untuk menyampaikan mesej-mesej yang perlu disampaikan kepada ahli dan juga orang ramai di kawasan Sekijang ini.

“Insya-Allah dalam PRU-15 kita boleh merampas kembali kerusi Parlimen, juga dua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemelah dan Pemanis. Kita tidak akan undur barang setapak pun,” tegasnya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.