UMMAH Desak Kerajaan Pecat Peguam Negara Kerana Gagal Bersikap Profesional

 

KUALA LUMPUR, 19 Julai – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) hari ini menyeru kerajaan khususnya Perdana Menteri untuk memecat Tommy Thomas selaku peguam negara kerana tidak layak untuk memegang jawatan tersebut.

Pengerusinya Aminuddin Yahaya berkata, bukan hanya kes berkaitan Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim, anggota bomba yang meninggal dunia ekoran cedera dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman namun banyak lagi kes lain yang menunjukkan Tommy tidak layak terus menjadi peguam negara, malah gagal bersikap profesional berdasarkan beberapa tindakannya yang menyebelahi pihak-pihak tertentu.

“Kerana itu jugalah UMMAH melahirkan sokongan terhadap tindakan keluarga Adib untuk mendakwa Tommy kerana tindakannya yang campur tangan dalam inkues kes tersebut sehingga prosidingnya tertangguh.

“Ini jelas terbukti apabila peguam negara sendiri telah membuat afidavit apa yang berlaku kepada Adib bukan disebabkan dipukul tetapi disebabkan pelanggaran oleh kereta bomba.

“Dalam keadaan inkues masih lagi berjalan, sudah tentu tindakan peguam negara ini merupakan satu tindakan yang tidak wajar dan seolah-olah ada satu konspirasi untuk mengenepikan keadilan yang sepatutnya keluarga Adib perolehi,” ujar beliau dalam satu sidang media, hari ini.

Tambah Aminuddin, pasukan peguam seramai lebih kurang 20 orang juga akan terus memantau secara dekat bagi memastikan tindakan-tindakan atau prosiding yang akan berjalan adalah secara adil.

“Jika semua berjalan tidak sebagaimana yang sepatutnya maka kita akan membuat beberapa tindakan termasuklah mengadakan satu lagi perhimpunan bagi menyatakan sokongan terhadap keluarga Adib.

“Namun itu adalah langkah terakhir sekiranya peringkat rayuan juga gagal,” terang beliau.

Selain itu, UMMAH dan beberapa NGO lain juga akan membuat laporan polis di seluruh negara terhadap tindakan campur tangan Tommy ini.

Allahyarham Muhammad Adib terlibat dalam rusuhan ketika kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada 27 November tahun lalu, namun menghembuskan nafas terakhirnya 21 hari kemudian. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.