PH Tukar Konsep Undang-undang ‘Rule of Law’ Jadi ‘Rule by Law’

 

KUALA LUMPUR, 18 Julai – Pensyarah Undang-Undang, Dr Shamsher Singh Thind berkata, ‘rule of law’ adalah sesuatu yang tercatat di dalam kertas namun apa yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekarang ini adalah ‘rule by law’.

Katanya, dengan ‘rule of law’ adalah apa yang boleh dan tidak boleh kita buat namun sebaliknya yang berlaku.

“Konsep ‘rule of law’ ini tidak salah, bagus sebenarnya. Konsep ini memberi kepuasan bahawa kerajaan tidak boleh menggunakan undang-undang untuk menghukum melainkan telah melakukan satu kesalahan. Kalau kerajaan nak hukum saya misalnya hanya kalau saya melakukan kesalahan. Ini satu jaminan.

“Yang kedua, sama ada saya telah melakukan kesalahan atau tidak perkara ini bukan berdasarkan apa yang dilaporkan oleh media atau trending di sosial media tapi mesti dibuktikan di mahkamah. Hakim akan dengar dan akan buat keputusan. Saya harus diberi perbicaraan yang adil.

“Ketiga, kesamarataan maksudnya kalau saya dengan kawan masuk kedai curi gula-gula, kalau saya kena tahan dia pun kena… tapi takkan saya kena hukum dia tak kena sebab Peguam Negara kawan dia… ini tidak boleh,” ulas beliau.

Beliau berkata demikian pada program Wacana Ilmu yang bertajuk ‘Rule of Law: Bagaimana Amalannya Sekarang’ yang turut disertai ahli panel lain iaitu Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razali Ibrahim serta pengamal undang-undang, Adnan Seman yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO-Online, malam tadi.

Memberi contoh kes Rafizi Ramli jelas beliau, Peguam Negara seharusnya memberi jawapan bagaimana Rafizi boleh dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah selepas Timbalan Pendakwa Raya, memberitahu mahkamah pihak pendakwaan menerima arahan untuk tidak meneruskan kes sedangkan ketika itu mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya atas tuduhan menyiarkan artikel mengandungi tohmahan terhadap Lembaga Tabung Haji (TH) di akaun Facebook miliknya.

“Ini adalah berkaitan Artikel 145 (3). Artikel itu yang memberi kuasa mutlak kepada Peguam Negara untuk bertindak sebagai pendakwa raya dan menentukan sama ada nak dakwa atau tidak dan bawah akta apa dan kalau sudah dakwa nak tarik balik pun boleh. Hari ini dakwa, esok nak tarik pun boleh. Mahkamah sudah kata ada kes prima facie, nak tarik pun boleh.

“Kes Rafizi, jawablah Peguam Negara… mahkamah sudah kata ada prima facie, kenapa tarik balik masa itu… namun sehingga sekarang tidak ada jawapan. Bagaimana nak hapuskan kuasa ini? Buat pindaan pada artikal 145 (3).

Katanya, Peguam Negara sekarang Tommy Thomas menyedari perkara ini dan sebab itu dulu dia menulis buku ‘Abuse Of Power’.

“Buku ini mengandungi beberapa koleksi artikel dan salah satunya adalah berkaitan kuasa pendakwa raya. Dia tulis pendakwa raya ini ada terlalu banyak kuasa jadi bila sudah bagi banyak kuasa, boleh salah guna maka kena kekang kuasa pendakwa raya.

“Pendakwa raya kalau nak tuduh sesiapapun boleh termasuk Agong. Pendakwa raya ada kuasa untuk bagi izin bagi mendakwa Agong di mahkamah khas. Point saya, bila sudah berkuasa kenapa kuasa ini tidak diberi kepada satu tribunal? Dulu kalau Tommy kata ‘abuse of power’, sekarang kalau dia tulis buku tajuk buku dia adalah, ‘use of power’,” sindir beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.