Dulu Tuduh BN Kerajaan Teruk, Sekarang PH Jauh Lagi Teruk – Razali

 

KUALA LUMPUR, 18 Julai – “Dulu, masa mereka (Pakatan Harapan) jadi pembangkang, mereka sering tuduh kita (Barisan Nasional) teruk tapi bila mereka diberi peluang, mereka rupanya jauh lebih teruk,” bidas Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Razali Ibrahim.

Jelas beliau, kerajaan hari ini telah menabur pelbagai janji untuk melakukan reformasi namun sayangnya setelah lebih setahun memerintah, mereka terbukti gagal.

“Dulu masa kita dalam kerajaan, PH selalu cakap kita tidak betul dan sebab itu dia janji nak buat pelbagai bentuk reform… perlantikan semula Speaker… tapi bila jadi kerajaan, keadaan sama saja malah lebih teruk. Kita lihat Speaker hari ini lebih teruk dari dulu. Saya tidak kata dulu kita sempurna segalanya tapi mereka cadangkan satu reform… contoh mengurangkan kuasa, pemisahan kuasa yang sebenar tapi kini setahun lebih tak buat, kata tidak ada lantikan politik tapi hari ini jangan kata lantikan beberapa agensi penguatkuasa, pertubuhan peladang, nelayan, ada lantikan menteri… dulu tidak ada.

“… ini janji mereka. Jangan kata nak reform malah mereka buat lebih teruk. Teruk-teruk kita dulu pun kita tidak pernah kacau pertubuhan peladang, kita tidak pernah kacau nelayan, tidak pernah masuk campur keputusan politik di sesetengah tempat… rupanya mereka jauh lagi teruk. Dulu mereka kata kita tidak bagus tapi bila dah dapat kuasa mereka lebih teruk lagi,” ujar beliau ketika menjadi panel dalam program Wacana Ilmu Penerangan UMNO Malaysia yang bertajuk ‘Rule of Law: Bagaimana Amalannya Sekarang’ malam tadi.

Tambah Razali, sekarang ini rakyat sudah boleh menilai antara PH dan BN dalam urusan mentadbir negara ini kerana kerajaan PH hanya pandai menabur janji namun tidak terlakasana malah kehidupan rakyat juga terabai.

“Cuba kita tengok berapa banyak undang-undang reform yang dia buat yang menguntungkan rakyat? Undang-undang kita ada banyak, kita boleh buat ikut keutamaan tapi kerajaan hari ini semua buat untuk faedah sebagai kerajaan, bukan untuk rakyat. Tidak ada dasar-dasar yang dia putuskan boleh mengembangkan ekonomi dan potensi kita.

“Contoh, undang-undang yang diluluskan tanpa perbincangan, terbaru had umur belia, lepas lulus kerajaan yang sama tidak setuju. Pada saya ini pelik, tapi paling teruk kerajaan kita ini undang-undang tidak boleh dikuatkuasakan malah dipersendakan rakyat. Apa dia… hisap rokok di kedai makan.

“Sekarang sudah tangguh dengar cerita tangguh bulan 12. Sudah jadi satu perkara yang lucu dan rakyat jadikan sebagai bahan jenaka bawa tape tiga meter. Di kedai karaoke… snooker boleh hisap rokok. Isunya adalah rokok ini membahayakan kesihatan tapi yang kena hukum kedai makan, kedai hiburan boleh. Akhirnya dia sendiri tidak tahu undang-undang ini untuk apa. Soalan saya, kenapa buat sekarang? Sibuk pasal straw, Sungai Kim Kim lagi penting dari straw. Mana lebih utama?” bidas beliau seterusnya.

Mengulas lebih lanjut berkaitan ‘rule of law’ jelas Razali, setiap manusia itu mempunyai peraturan yang harus diikuti.

“Undang-undang perlu dipersetujui oleh majoriti, ia jadi undang-undang bila ada penyokong. Kita tahu buat undang-undang ini di Parlimen. Contoh, ganja tidak boleh di Malaysia tapi boleh di Amsterdam. Kita tidak boleh kata kita betul Amsterdam salah sebab di Amsterdam majoriti kata boleh.

“Maknanya undang-undang jadi undang-undang bila diterima oleh majoriti rakyat. Kedua, Undang-undang bila jadi undang-undang kena ikut. Jangan persoalkan sebab kalau langgar kena tangkap, kalau dipersoalkan ia akan runtuh sama ada cepat atau lambat. Contoh, saya belum pernah dengar orang buat demonstrasi sebab lampu merah tidak mahu berhenti. Semua ikut peraturan ini.

“… lampu isyarat tidak ada orang persoalkan, hijau jalan merah berhenti. Kalau ada orang persoalkan maka kemusnahan depan mata dan segera. Serupa juga seperti dalam negara ini. Bila ada benda yang disebut dalam Perlembagan yang dipersoalkan maka ada yang tidak puas hati,” terang beliau.

Terang Razali seterusnya, ramai yang boleh lihat perpaduan ummah antara UMNO dan PAS dan perpaduan ini lahir kerana rasa ketidakpuasan hati apabila hak orang Melayu Islam dipertikaikan.

“Perpaduan ini lahir selepas 9 Mei 2018 bila orang Melayu Islam merasakan hak mereka sering dipersoalkan. Mereka rasa rimas, akhirnya tidak semena-mena PAS UMNO yang tidak pernah bersapa boleh cari jalan penyatuan.

“Ini kerana mereka sedang memenuhi kelemasan orang Melayu Islam kerana ada perkara-perkara yang dilaksanan tidak lagi menghormati Perlembagaan yang ada, tapi saya nak beritahu undang-undang ini bersifat dinamik. Perlembagaan dah banyak kali kita pinda. Terbaru, had umur mengundi. Maknanya ia boleh dipinda dengan syarat dua per tiga tapi selagi belum dipinda tolong hormat.

“Contoh, agama Islam agama Persekutuan perkara nombor tiga dalam Perlembagaan… agama lain boleh amal? Boleh. Gereja boleh buat? Boleh. Yang pergi sibuk nak persoalkan nomnor tiga nak buat sama tara nak tutup JAKIM pasal apa? Tunjuk kat saya dalam Perlembagaan agama selain daripada Islam… tuan-tuan tak jumpa… jangan kecam saya… saya tidak terlibat dalam menggubal perlembagaan. Saya belum lahir. Cuma disebut waktu itu ada sebab tapi kalau hari ini rakyat semua tidak setuju, marilah kita pinda macam had umur ini tapi selagi sebelum dipinda, jangan persoalkan, bila dipersoalkan maka kita akan runtuh,” tegas beliau lagi – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.